Home Politik Mahkamah beri Hamzah 14 hari putuskan pendaftaran PEJUANG

Mahkamah beri Hamzah 14 hari putuskan pendaftaran PEJUANG

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi tempoh selama 14 hari kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk membuat keputusan mengenai rayuan Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) didaftarkan sebagai parti politik.

Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja PEJUANG, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, keputusan tersebut perlu dibuat secara mandatori oleh Hamzah sebelum atau pada 8 Julai ini.

“Pada hari ini, pejabat Setiausaha Agung (PENAJA) telah dimaklumkan oleh Peguam PEJUANG bahawa keputusan permohonan semakan kehakiman berkaitan pendaftaran PEJUANG telah memihak kepada PEJUANG di atas prinsip keadilan undang-undang,

“Melalui keputusan semakan kehakiman tersebut, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk membuat keputusan terhadap rayuan yang dikemukakan oleh PEJUANG berkenaan penolakan pendaftaran sebagai parti politik oleh pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dalam tempoh 14 hari mulai hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Amiruddin turut menjelaskan, semasa prosiding di mahkamah pagi ini, Hakim antara lain telah menyentuh tempoh masa 5 bulan setengah yang telah diambil oleh Hamzah untuk membuat keputusan terhadap rayuan tersebut adalah tidak munasabah.

Tambahnya, PEJUANG akan berusaha dengan apa cara sekalipun mengikut lunas undang-undang bagi memastikan kelulusan pendaftaran sebagai sebuah parti politik yang sah.
Pada 21 Mei lalu, PEJUANG memaklumkan parti itu menerima amaran keras daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk menghentikan segala aktiviti keahlian dan penggunaan logo parti.

Pejuang sebelum ini mengajukan semakan kehakiman untuk memaksa Hamzah dan ROS membuat keputusan mengenai rayuan pendaftaran parti mereka.-airtimes.my

Amiruddin berkata, tindakan melengah-lengahkan pendaftaran Pejuang bermotifkan politik dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply