Home Pertahanan dan Keselamatan Lelaki leka punggah rokok seludup dicekup Polis Marin

Lelaki leka punggah rokok seludup dicekup Polis Marin

by Nurulhuda

BUKIT TENGAH, 25 Jun – Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Pinang telah menahan seorang lelaki Cina dan merampas 1,350 karton rokok disyaki tidak mempunyai cukai kastam yang dianggarkan berjumlah RM214 ribu di sekitar Bukit Tengah, Pulau Pinang, semalam.

Pemangku Komander PPM Wilayah 1, Superintenden Shoppri Saad berkata, lelaki berkenaan ditahan ketika sedang memunggah sejumlah kotak berwarna coklat di bahagian belakang kenderaan miliknya.

Menurutnya, penahanan dibuat selepas mendapat maklumat daripada Unit Risikan Marin Pulau Pinang dan telah mengaturgerakkan anggotanya membuat pemantauan berterusan di Taman Cendana Permai.

“Dalam serbuan itu, PPM Wilayah 1 telah berjaya merampas 1,350 karton rokok yang disyaki tidak mempunyai cukai kastam, dengan anggaran nilai barangan RM214,002.00,

“Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Nissan NV200 yang dipercayai digunakan dalam sindiket tersebut. Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM 274,002.00.

Shoppri Saad berkata, kesemua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, pihaknya akan terus komited dalam membanteras kegiatan pengedaran rokok tidak bercukai dan sentiasa meningkatkan pengoperasian serta memperketatkan pengawalan terutamanya di perairan negara.

“Kami turut menyeru kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat tentang kegiatan atau aktiviti menyalahi undang-undang di persisiran pantai,

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pasukan Polis Marin Wilayah Satu di talian 04-6558222,” tambahnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply