Home Semasa APMM patahkan cubaan seludup keluar 450kg daun ketum ke Thailand

APMM patahkan cubaan seludup keluar 450kg daun ketum ke Thailand

by Air Times News Network

KUALA KEDAH, 6 Jun – Cubaan menyeludup keluar daun ketum seberat 450 kilogram (kg) melalui jalan laut gagal apabila berjaya di patahkan bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah di pesisir pantai Kuala Sanglang, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, rampasan ini dibuat pada jam 6,15 pagi berikutan maklumat risikan mengenai aktiviti penyeludupan daun ketum yang aktif di sekitar perairan Kuala Kedah.

“Berikutan itu sebuah bot ronda APMM telah diatur gerak untuk membuat tinjauan ke kawasan berkenaan dan telah menemukan sebuah bot bertambat tanpa muatan,

“Pasukan operasi mengesyaki bot tersebut merupakan bot suspek dan membuat tinjauan sekitar bagi menjejak suspek dan ketum,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, hasil tinjauan di kawasan pesisir pantai telah menemukan 45 bungkusan plastik berwarna hitam yang berada di pesisir pantai berdekatan, mengandungi daun ketum yang dipercayai baru dipetik, diletakkan di tepi pesisir pantai dan dipercayai hanya menunggu masa untuk diseludup keluar ke Thailand.

“Kesemua bungkusan yang disyaki daun ketum dengan seberat 450 kilogram yang anggarkan bernilai RM81,000 dan dibawa ke Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut,

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Noor Azreyanti berkata, harga pasaran daun ketum mencecah RM180 sekilogram di negara jiran berbanding pasaran tempatan yang hanya bernilai RM40 sekilogram.

“Nilai pasaran yang tinggi di negara jiran dilihat telah menarik perhatian penyeludup untuk terus mencuba pelbagai helah menjalankan akitiviti ini,

“Untuk rekod, ini merupakan rampasan daun ketum yang kelima bagi Zon Maritim Kuala Kedah bagi tahun ini,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply