Home Semasa Total lockdown: PDRM lulus 12,000 permohonan rentas daerah, negeri

Total lockdown: PDRM lulus 12,000 permohonan rentas daerah, negeri

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meluluskan 12,000 permohonan rentas daerah dan negeri setiap hari sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, permohonan tersebut yang diluluskan bagi kes kematian, kecemasan dan pemohon yang bekerja sendiri.

“PDRM juga telah menutup 118 jalan-jalan kecil yang dikenal pasti menjadi laluan alternatif orang awam untuk melanggar larangan rentas negeri dan daerah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui jabatan dan agensi penguatkuasaan di bawahnya seperti PDRM, RELA, APMM, JIM, PENJARA dan JPN telah mempertingkatkan operasi penguatkuasaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ‘lockdown’ yang dikuatkuasakan bermula 1 Jun lepas.

“Dalam tempoh tersebut, hampir 85,000 pemeriksaan harian dilaksanakan oleh PDRM bersama agensi-agensi yang lain bagi memastikan segala arahan dan SOP yang ditetapkan kerajaan dipatuhi oleh semua pihak,” jelasnya.

Menurut Hamzah, hampir 35,000 premis diperiksa termasuk pasar raya, restoran, kilang dan tempat-tempat yang dibenar beroperasi di seluruh negara.

“Sebanyak 3,514 kompaun dikeluarkan termasuk 117 dikenakan terhadap perbadanan atau syarikat dan 163 tangkapan dilakukan atas kesalahan pelanggaran SOP PKP dalam tempoh 1 Jun sehingga 4 Jun,” ujarnya.

Selain itu, bagi pergerakan lalu lintas di lebuh raya utama negara, kadar aliran kenderaan didapati menurun kepada sekitar 500,000 kenderaan sehari berbanding 1.3 juta kenderaan sebelum PKP 3.0.

Mengulas lanjut, beliau berkata KDN melalui JIM akan meneruskan operasi penguatkuasaan PATI secara besar-besaran di kawasan penempatan warga asing bagi mencegah penularan COVID-19. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply