KUALA LUMPUR, 1 Jun – Menginjak usia 63 tahun penubuhan, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini lebih matang sebagai sebuah organisasi yang seiring dengan ancaman dan peredaran teknologi masa kini.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM berkata, TUDM terus mengorak langkah sebagai satu ketumbukan udara yang moden dan mandiri dalam mempertahankan kedaulatan ruang angkasa negara.
Beliau semasa ucapan perutusan khas sempena Hari Ulang Tahun ke-63 TUDM hari ini menyatakan, TUDM sebagai tonggak pertahanan udara dalam memelihara kedaulatan negara, akan sentiasa memperkasakan institusi yang bermaruah dengan lebih cemerlang.
Pada tahun ini, sambutan Hari Ulang Tahun TUDM ke-63 bertemakan ‘TUDM Mampan, Ruang Angkasa Aman’.
“Ungkapan ini adalah manifestasi kepada segala usaha dan tanggungjawab yang dilaksanakan oleh TUDM dalam memastikan daya kebolehoperasian organisasi ini sentiasa berada di tahap yang tinggi.
“Takrifan perkataan ‘mampan’ itu sendiri membawa maksud mampu terus berkembang dan mencapai tahap prestasi yang baik,
“Inilah aspirasi TUDM untuk menjadi sebuah organisasi yang sentiasa dinamik dan inovatif dalam
mempertingkatkan serta mengukuhkan kebolehupayaan bagi mempertahankan kedaulatan ruang angkasa dan kepentingan negara,” katanya.
Menurut Ackbal, bagi merealisasikan hasrat menjadi sebuah organisasi yang mampan, TUDM telah mengambil pendekatan memperkenalkan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2022 atau CAP55.
“Pelan ini adalah suatu pelan pembangunan komprehensif yang menjadi panduan bagi transformasi TUDM untuk menjadi sebuah ketumbukan udara efektif dalam pelbagai spektrum operasi,
“Keberhasilan daripada pelaksanaan CAP55 ini akan menyumbang kepada tahap kebolehupayaan tudm yang mampan dalam menguasai ruang angkasa malaysia, seterusnya menjamin keselamatan dan kedaulatan negara,” ujarnya.- airtimes.my