Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Polis siasat majlis sambutan Aidilfitri di PUSASDA langgar SOP

Polis siasat majlis sambutan Aidilfitri di PUSASDA langgar SOP

by Air Times News Network

PORT DICKSON, 17 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka satu kertas siasatan mengenai tular Sambutan Majlis Aidilfitri di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) yang disyaki melanggar prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pada 16 Mei lalu jam lebih kurang 10.53 pagi, pihak Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson telah menerima satu laporan berkaitan posting di media sosial berkaitan majlis tersebut.

“Ekoran itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Port Dickson telah membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),

“Siasatan juga dibuat mengikut Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Aidi Sham, pihak polis memandang serius sebarang pelanggaran SOP Aidilfitri yang telah ditetapkan oleh MKN bagi mengelakkan sebarang penularan COVID-19.

Pada Khamis lepas, menerusi Facebook PUSASDA, memaparkan hantaran  mengenai sambutan majlis tersebut yang diadakan di Padang Kawad Cawangan dan Hangar Bahagian Latih, PUSASDA pada Hari Raya Pertama.

Dalam kes berlainan, pada 15 Mei lalu Pasukan Task Force SOP IPD Port Dickson telah mengeluarkan 3 kompaun ke atas 3 individu yang gagal mematuhi SOP MKN kerana merentas daerah tanpa kebenaran.

“Masyarakat adalah dinasihatkan untuk terus mematuhi SOP sebagaimana yang telah digariskan terutama dalam tempoh Aidilfitri ini dan hanya membuat pergerakan keluar daerah atau negeri dengan kebernaran PDRM sahaja sebagaimana yang telah digariskan,

“Disamping itu, pasukan Task Force SOP akan terus memantau sebarang perlanggaran SOP dalam tempoh ini demi memastikan kesejahteraan bersama khususnya daerah Port Dickson,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply