Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan bot nelayan Indonesia, ceroboh perairan Malaysia

APMM tahan bot nelayan Indonesia, ceroboh perairan Malaysia

by Air Times News Network

GEORGETOWN, 17 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang berjaya menahan sebuah bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan Malaysia di kedudukan 24.8 batu nautika barat daya Pulau Kendi, semalam.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kejadian berlaku pada jam 3.30 petang semasa Kapal Maritim (KM) Burau sedang melaksanakan rondaan Operasi Benteng Laut, Operasi Pertiwi dan Operasi Tanjung.

“Bot nelayan tersebut disyaki dari Indonesia dan ditahan ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara,

“Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan Indonesia tidak bernombor dikendali oleh 4 kru termasuk tekong berumur lingkungan 21 hingga 33 tahun serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Tambahnya, kesemua mereka ditahan dan dibawa ke APMM Negeri Pulau Pinang bagi menjalani saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?