Home Pertahanan dan Keselamatan COVID-19: ATM bakal dirikan ICU medan di Hospital Pulau Pinang

COVID-19: ATM bakal dirikan ICU medan di Hospital Pulau Pinang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mendirikan Unit Rawatan Rapi (ICU) medan di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang bagi menampung peningkatan kes-kes kritikal yang semakin mendadak di negeri berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar penggunaan katil ICU COVID-19 di hospital-hospital Pulau Pinang telah mencecah lebih daripada 100% ekoran daripada peningkatan kes.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mendapati trend kemasukan pesakit ke ICU di Pulau Pinang telah meningkat lebih 45% untuk tempoh 2 minggu kebelakangan ini,

“Trend ini dijangka akan berterusan khususnya apabila wujudnya kluster-kluster baharu yang melibatkan rumah jagaan warga emas dan lain-lain,” katanya dalam hantaran di media sosial miliknya semalam.

Dr Noor Hisham berkata, ICU medan ini yang akan menggunakan konsep modular mampu merawat sehingga 27 pesakit kritikal COVID-19 dalam satu masa.

“Ia termasuklah mereka yang memerlukan bantuan pernafasan serta peralatan ‘life support’ lain seperti mesin dialisis untuk pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang akibat daripada jangkitan COVID-19, dan ‘infusion pump’ bagi menyokong fungsi jantung,” tambahnya.

Selain daripada itu, ATM juga akan mendirikan makmal modular dan unit radiologi modular bagi memberikan kemudahan perkhidmatan sokongan klinikal kepada pesakit-pesakit kritikal yang ditempatkan di ICU medan ini.

Semalam, Dr Noor Hisham telah membuat lawatan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HAT Mizan) untuk melihat sendiri persediaan ICU medan yang akan dibina di Pulau Pinang. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply