Home Pertahanan dan Keselamatan 94 HAT Terendak dinaik taraf bermula Julai ini

94 HAT Terendak dinaik taraf bermula Julai ini

by Nurulhuda

MELAKA, 30 Mac – Projek penambahbaikan dan menaik taraf 94 Hospital Angkatan Tentera (94 HAT) di Kem Terendak kini di dalam peringkat penilaian teknikal tender dan dijangka akan bermula pada penghujung bulan Julai nanti.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, projek naik taraf ini perlu dilakukan segera bagi memperlengkapkan 94 HAT dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada warga dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) .

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Kem Terendak, Melaka dengan memberi tumpuan di 94 HAT terendak dan ketumbukan pasukan 10 Briged Para (10 Bgd Para), pada Isnin.

Bahagian Hal Ehwal Awam-J7, Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan berkata, semua kerja-kerja penambahbaikan dan naik taraf ini adalah berdasarkan peruntukan RM40 juta yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 28 November lalu.

“Peruntukan tersebut adalah bagi menampung keperluan semasa hospital berkenaan dalam menyediakan kemudahan kepada ATM, veteran dan juga komuniti setempat yang memerlukan,

“Kerja-kerja naik taraf kemudahan di 94 HAT merangkumi dewan bedah, wad unit rawatan rapi (ICU), Jabatan Kecemasan, Jabatan Bekalan Steril (CSSD) dan pembinaan menara tangki air yang berkapsiti 450,000 gelen,

“Selain itu, penggantian 2 lif penumpang, satu lif sisa klinikal dan satu lif ICU, sistem bekalan elektrik utama kompleks hospital melibatkan pembinaan pencawang elektrik baharu serta penggantian sistem janakuasa siap sedia, sistem melawan kebakaran di blok pembedahan, ICU, Dewan Bedah dan Jabatan Bekalan Steril serta sistem bekalan gas perubatan juga akan dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, Affendi telah diberi taklimat oleh Pegawai Memerintah 94 HAT, Brigedier Jeneral (Dr) Mohamed Hatta Manis dan diiringi oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan (Dr) Md Amin Muslan berkenaan kerja-kerja naik taraf kemudahan di hospital berkenaan.

Menurut kenyataan itu, lawatan ini bertujuan untuk melihat fasilitas serta mendapatkan perkembangan terkini rancangan kerja-kerja naik taraf yang bakal dilaksanakan oleh hospital berkenaan.

Lawatan ini juga adalah susulan dari sesi lawatan kerja yang telah dilaksanakan oleh Menteri Kanan Pertahanan pada 28 Nov 2020 yang lalu.

Dalam masa yang sama, Affendi turut mengadakan lawatan ke 10 Bgd Para bagi melihat keupayaan atur gerak pasukan berkenaan sebagai salah satu elemen dalam Pasukan Aturgerak Cepat (PAC).

Beliau kemudian dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat disempurnakan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.

“Penganugerahan beret dan sayap yang menjadi kebanggaan 10 Briged Para ini adalah penghormatan dan pengiktirafan briged berkenaan kepada individu, pemimpin tertinggi tentera atau kerajaan sama ada di dalam atau luar negara,” tambahnya.

Related Articles

Leave a Reply