Home Pertahanan dan Keselamatan ATM dan PDRM kawal pusat simpanan vaksin COVID-19

ATM dan PDRM kawal pusat simpanan vaksin COVID-19

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan bagi menjaga keselamatan vaksin COVID-19 Pfizer di pusat-pusat simpanan di seluruh negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, pasukan keselamatan itu juga akan membantu mengawal pergerakan konvoi ketika vaksin tersebut diedarkan.

Beliau berkata, pihaknya sudah mendapat kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi tujuan kawalan dan pergerakan vaksin itu.

“Kita akan meletakkan polis bagi menjaga keselamatan vaksin COVID-19 di pusat simpanan vaksin di seluruh negara. Langkah ini penting kerana vaksin ini sekarang sudah menjadi sangat bernilai,

“Saya percaya polis dan ATM akan membantu bukan hanya di pusat simpanan vaksin tetapi juga dalam kita menghantar konvoi-konvoi membawa bekalan vaksin ke seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Terdahulu, Khairy telah menjelaskan Pasukan Petugas Khas ditubuhkan sebagai Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 atau COVID-19 Immunisation Taskforce (CITF) yang diketuai oleh beliau sendiri.

Pasukan Pengurusan (Project Management Team) CITF akan diselia oleh dua Pengarah bersama, iaitu Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Chong Chee Keong dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman.

Manakala, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bertindak sebagai urus setia CITF. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply