Home Diskusi Kolumnis: Angkatan Tentera Malaysia sebagai pemangkin nafas baru negara – Liew Chin Tong

Kolumnis: Angkatan Tentera Malaysia sebagai pemangkin nafas baru negara – Liew Chin Tong

by Liew Chin Tong

Pada bulan Januari, saya telah dijemput oleh Komandan, Brigedier-Jeneral Dato’ Nizam Haji Jaafar, dan Ketua Akademik, Mejar-Jeneral (Bersara) Dato’ Rahim Yusuff, Maktab Ketahanan Nasional (NRC) untuk membincangkan mengenai Kuasa Negara (National Power) dalam konteks Malaysia. Rangka asas untuk syarahan saya ialah kuasa negara perlu digunakan untuk mencapai aspirasi tertentu agar ia dimanfaatkan secara berkesan.

Oleh itu, saya telah menggariskan aspirasi negara kita adalah untuk membina semula negara menjurus kepada Rejuvenasi Malaysia. COVID-19 telah membakulsampahkan tanggapan kita sebelum ini, dan telah memberi kita peluang untuk mempertimbangkan semula kaedah pengurusan negara kita. Malaysia yang Direjuvenasi merupakan negara yang mempunyai identiti bersama, mempraktikkan demokrasi dan pemahaman persekutuan yang sebenar, menggiatkan ekonomi untuk semua, menerajui pemikiran keselamatan yang komprehensif, dan mempunyai pemahaman jelas tentang kedudukan negara kita di dunia, dari segi geografi mahpun juga di pentas dunia.

Angkatan Tentera Malaysia merupakan salah satu peralatan kuasa negara yang memainkan peranan penting dalam memangkin proses rejuvenasi ini. Untuk meneruskan usaha ini, ATM perlu melaksanakan strategi pertahanan tiga teras yang telah digariskan oleh Kertas Putih Pertahanan. ATM perlu berubah menjadi satu ketumbukan moden yang berkeupayaan untuk melaksanakan cegah rintang berpadu dalam pemahaman Malaysia sebagai sebuah negara maritim bersusur galur kebenuaan, bekerjasama dengan agensi lain menerusi pendekatan pertahanan menyeluruh, dan menjalin hubungan erat dengan negara lain untuk menjadi gerbang penjalin antara kuasa-kuasa besar.

Pembukaan

Saya amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk berkongsi dengan anda di Maktab Ketahanan Nasional. Saya telah menyampaikan ucapan kepada Cohort pertama NRC pada bulan Oktober 2019. Komandan adalah salah seorang daripadanya dan beliau kemudiannya dikenalpasti sebagai peserta kurus terbaik.

Komandan dan Dato’ Rahim telah meminta saya untuk bercakap berkenaan “kuasa nasional”. Tajuk yang saya berikan untuk kuliah ini ialah “Angkatan Tentera sebagai Pemangkin Rejuvenasi Malaysia”.

Pada awal 2021 ini, tidak salah untuk dikatakan bahawa kita hidup dalam tempoh terburuk dalam beberapa dekad lampau, baik pada peringkat global atau dalam negara. Tetapi pada masa yang sama, kita juga melihat potensi besar untuk membina semula (‘reset’) untuk mewujudkan kedamaian, kemakmuran dan kesejahteraan selama beberapa dekad yang akan datang. Angkatan Tentera adalah salah satu alat dalam kotak peralatan seni tadbir Malaysia, atau kuasa nasional.

Bagi Malaysia, negara yang bercita-cita menjadi ‘kuasa pertengahan’, cabaran untuk menggunakan kekuatan ini akan menjadi lebih sulit, kerana ruang untuk kita melakukan kesilapan adalah jauh lebih kecil berbanding dengan Kuasa Besar. Namun, jika kita mengatur diri secara strategik, Malaysia dapat melonjak melampaui kemampuan negara dalam mengubah arus urusan dunia hari ini.

Sebelum saya teruskan, izinkan saya menyebut beberapa perkara mengenai Maktab Ketahanan Nasional. Kursus ini dirancang untuk membantu anda menjadi “pemikir strategik dengan kualiti negarawan.” Setakat ini, sebahagian besar kerjaya anda adalah sekitar urusan menangani persoalan-persoalan penting tentang hal-hal taktikal dan operasi.

Oleh itu, izinkan saya mengucapkan tahniah kepada anda semua atas kejayaan yang begitu cemerlang dalam bidang ketenteraan setakat ini. Dan izinkan saya untuk mengucapkan selamat maju jaya juga, kerana ke mana sahaja arah tuju anda selepas ini, anda tergolong dalam kumpulan eksklusif yang akan mempunyai peranan lebih besar berbanding sebelumnya, dan keputusan seharian anda mungkin memberi kesan kepada negara, dalam apa jua cara sekalipun.

Sebelum ditubuhkan, Maktab Ketahanan Nasional muncul dalam banyak perbincangan saya bersama-sama bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin. Harapan kami adalah bahawa suatu hari nanti Maktab Ketahanan Nasional bukan sahaja terhad kepada pemimpin kanan ATM tetapi akan mempunyai anggota kursus terdiri daripada kakitangan awam kanan peringkat Timbalan Ketua Setiausaha, khususnya pegawai kanan awam Kementerian Pertahanan, serta pemimpin sektor politik dan swasta. Pada satu tahap, mungkin peserta daripada angkatan tentera asing juga boleh dirangkum sekali.

Kolej ini, yang merupakan sebahagian daripada PUSPAHANAS, terletak secara strategik di Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan persekutuan. Jelas bagi banyak pihak bahawa Putrajaya perlu membangunkan pendekatan keseluruhan kerajaan terhadap pentadbiran.

Selama bertahun-tahun, sistem telah mencambahkan budaya enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing. Malaysia memerlukan tujuan sepunya dan misi yang disepakati bersama. Kita perlu segera menanamkan dalam kesedaran kolektif negara ini suatu pemahaman tentang daya ketahanan.

Ketahanan adalah lebih menyeluruh daripada definisi ‘pertahanan’ atau ‘keselamatan’ yang lebih sempit. Ketahanan adalah persoalan sama ada kita, sebagai sebuah negara, memiliki apa yang diperlukan untuk melindungi masyarakat daripada segala bentuk cabaran dan ancaman.

Ancaman boleh datang dalam pelbagai bentuk. Baru setahun yang lalu, tidak ramai yang menjangka bahawa coronavirus mampu membuatkan kehidupan jadi tunggang langgang dan membakulsampahkan segala anggapan yang telah kita ambil mudah. Kita bukan hanya mengejar kesedaran “keseluruhan kerajaan” bahkan kita juga perlu mengembangkan kesedaran “seluruh masyarakat”.

Idea untuk membuka ruang kepada orang awam menjadi peserta kursus Maktab Ketahanan Nasional juga adalah untuk membantu sekurang-kurangnya beberapa kepemimpinan awam memahami pemikiran strategik Angkatan Tentera. Pada saat yang sama, Angkatan Tentera juga harus selalu memperingatkan dirinya sendiri agar tidak beroperasi secara bersendiri. Ia bukan sebuah unit yang terpisah tetapi merupakan bahagian yang sangat penting bagi kerajaan dan masyarakat.

Malah, Angkatan Tentera perlu mengembangkan konsep kebersamaan (jointness) – latihan bersama antara cabang perkhidmatan untuk berperang dan menjaga keamanan sebagai satu pasukan – dengan cara yang jauh lebih mendalam daripada yang pernah kita lakukan. Oleh itu, saya berharap dapat melihat Maktab Ketahanan Nasional berkembang maju dan menghasilkan lebih ramai pemimpin tentera dan awam untuk mendorong negara terus maju ke hadapan.

Membayangkan Malaysia yang Direjuvenasi

Saya faham bahawa karya Hans Morgenthau telah menjadi asas kepada pemahaman NRC mengenai kuasa nasional. Inti daripadanya, kuasa nasional adalah untuk menggerakkan rakyat dan semua sumber yang ada di negara bagi mencapai satu matlamat nasional. Tetapi apakah tujuan akhirnya? Di manakah kita ingin melihat Malaysia dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang?

Supaya Malaysia dapat terus bergerak maju, kita perlu memiliki kerangka baharu mengenai idea kenegaraan kita dan tempatnya di persada dunia. Mari kita bayangkan Malaysia yang direjuvenasi yang merangkumi 5 keutamaan.

Pertama, identiti bersama.

Kita mesti menjauhkan diri daripada retorik yang memecah-belah dan mendakap gagasan identiti bersama dengan takdir sepunya. Di penghujung krisis ini, kita harus menyedari bahawa sejauh mana pun perbezaan budaya dan latar belakang agama kita, kita semua tetap rakyat Malaysia. Semangat #KitaJagaKita harus tertanam dalam minda masyarakat sehingga kita melihat diri kita bergerak menuju sebuah takdir sepunya sebagai rakyat Malaysia.

Kedua, membina demokrasi dan fahaman persekutuan yang sebenar.

Kita mesti menerima hakikat bahawa kita mempunyai banyak perbezaan. Jika anda mengamati pilihan raya umum sejak 2008, Malaysia telah menjadi demokrasi 50:50. Keadaan rakyat Malaysia akan bertambah baik sekiranya institusi kita disesuaikan dengan norma baharu Malaysia yang mana sudah menjadi kebiasaan untuk mempunyai kerajaan gabungan dibentuk oleh parti-parti yang mempunyai kekuatan yang sama. Hegemoni satu parti sudah tidak masuk akal.

Apa yang penting ialah kita membina sistem politik yang lebih baik, sistem berparlimen yang akan menguruskan perbezaan dan menyesuaikan keperluan masing-masing. Ahli politik harus melihat satu sama lain bukan sebagai musuh tetapi sebagai seteru yang dihormati, dan melihat satu sama lain sebagai rakan kerjasama dalam membina negara yang lebih baik. Kita mesti melupakan mentaliti ‘winner takes all’ ini. Hanya dengan bertolak ansur, kita dapat membina demokrasi yang berkembang maju.

Kita juga perlu memberi lebih banyak pengiktirafan, peranan dan tanggungjawab kepada negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak, untuk menyelesaikan perbezaan antara wilayah sambil memanfaatkan kekuatan dari berbagai bahagian negara ini.

Ketiga, membina ekonomi untuk semua.

Kita mesti memikirkan ekonomi Malaysia sebagai ekonomi yang akan berfungsi untuk semua pihak. Kita tidak mahu berada dalam keadaan di mana kita mengambil pekerja asing yang tidak mahir sedangkan kita mempunyai ratusan ribu rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara sebagai buruh murah.

Kita mesti membina kitaran positif dengan gaji yang lebih tinggi, kualiti yang lebih tinggi, teknologi tinggi dan produktiviti yang lebih tinggi. Hanya dengan membina kitaran positif ini dapat kita mempunyai pertumbuhan yang dinamik untuk ekonomi. Dan semua orang akan bersama-sama menerima manfaat daripada ekonomi dinamik ini, bukan beberapa kumpulan terpilih sahaja. Sektor pertahanan boleh menjadi pemangkin ekonomi dan teknologi yang penting serta tapak latihan yang hebat untuk modal insan yang cemerlang di semua peringkat kecekapan.

Keempat, kita memerlukan pemikiran keselamatan yang baharu.

Kita memerlukan angkatan tentera, polis, pihak berkuasa penjara, perancang bandar, dan pihak kesihatan untuk memikirkan perihal keselamatan negara secara bersama. Apa yang telah kita pelajari daripada Covid-19 ialah bekerja secara bersendirian tidak akan membantu. Kita hanyalah sekuat ahli yang paling lemah antara kita

Sekiranya daya ketahanan tidak dijaga dengan baik, kita akan berdepan penularan wabak Covid-19 di penjara. Sekiranya kita tidak melindungi dan menangani asrama pekerja asing dengan baik, kita akan berdepan wabak di sana pula. Dan ini termasuklah bidang pengawasan polis, keselamatan dalam negeri, dan angkatan tentera. Kita perlu memikirkan persoalan keselamatan dengan pemikiran baharu.

Kelima, kedudukan Malaysia di persada dunia.

Kita harus melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berpadu mendepani dunia. Kita harus melihat Malaysia sebagai kuasa pertengahan. Dan kita harus melihat Malaysia sebagai ekonomi yang menyerlah di rantau ini, yang berkembang secara dinamik dan membantu seluruh anggota masyarakat untuk mencapai potensi masing-masing.

Bagi kuliah ini, saya akan memberikan fokus kepada idea-idea untuk membentuk pemikiran keselamatan baharu dan memikirkan tentang kedudukan Malaysia di persada antarabangsa. Setakat ini, Kertas Putih Pertahanan merupakan satu-satunya dokumen kerajaan yang memberikan penjelasan mengenai persoalan ini. Apakah cita-cita Malaysia, atau apakah matlamat Akhir kita? Menurut Kertas Putih Pertahanan, Malaysia adalah negara yang bercita-cita menjadi ‘kuasa pertengahan’ dan secara sejarahnya telah menjadi penghubung antara kuasa besar di rantau ini. Fikirkan tentang peranan penting yang dimainkan oleh Kesultanan Melaka dan Srivijaya.

Dunia sekarang berada di persimpangan dan kita berada di pusat persaingan antara kuasa-kuasa besar. Sekiranya kita melangkah dengan bijak, Malaysia akan berada di posisi yang baik untuk menjadi penghubung antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik; apa yang disebut oleh Amerika Syarikat dan sekutunya sekarang sebagai “Indo-Pasifik”. Sudah tentu, jika kita tidak menguruskannya dengan baik, kita akan menjadi si pelanduk yang dipijak oleh gajah yang sedang bertempur. Bak kata pepatah, Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.

Sekali lagi, dengan merujuk kepada Kesultanan Melaka, Malaysia harus melihat dirinya sebagai negara maritim dengan susur galur kebenuaan, terhubung ke benua Asia dan mempunyai ciri-ciri yang menonjol di Nusantara atau Kepulauan Melayu, dengan perairan wilayah yang membentuk bahagian Selat Melaka, laluan perdagangan paling sibuk di dunia, dan Laut China Selatan, perairan yang paling hangat dipertikaikan di dunia.

Bagaimana Sejarah Membentuk Hala Tuju dan Institusi Kita

Di persimpangan ini, saya ingin melencong sedikit untuk menyorot kembali bagaimana sejarah membentuk hala tuju dan institusi negara sebelum kita memulakan perjalanan untuk membayangkan masa depan.

Sebelum pilihan raya umum 2018, setiap kali saya ditanya apakah akan berlaku rampasan kuasa tentera sekiranya Perdana Menteri ketika itu , Datuk Seri Najib Razak, tewas, saya akan menjawab dengan yakin bahawa “tidak akan berlaku rampasan kuasa tentera di Malaysia kerana ATM terdiri daripada anggota profesional”. Lebih penting lagi, aturan keselamatan negara kita adalah sedemikian rupa di mana pihak polis terlibat dalam politik domestik lebih daripada Angkatan Tentera.

Aturan keselamatan Malaysia adalah unik dalam banyak hal jika dibandingkan dengan negara jiran serantau, rententan peristiwa bersejarah, terutamanya peristiwa Darurat 1948 hingga 1960. British memilih untuk memperluas pasukan polis secara besar-besaran dengan sebahagian besar pegawai Tanah Melayu ditugaskan menangani ancaman Komunis pada tahun 1948, sementara angkatan tentera dibentuk oleh batalion-batalion daripada Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Persekutuan, dan pelbagai Rejimen dari negara Komanwel lain.

Sekiranya anda memikirkan tentang negara-negara ASEAN dan negara-negara jirannya di Asia Selatan atau Asia Utara, hanya Malaysia, Singapura dan Brunei yang tidak mempunyai angkatan tentera sebagai kekuatan dominan dalam masyarakat sepanjang sejarah mereka. Polis negara ini, yang diperintah secara berpusat dengan satu rantaian perintah, adalah hampir sama saiznya dengan Angkatan Tentera.

Negara-negara ini tidak dibentuk oleh pasukan revolusi setelah Perang Dunia Kedua. Sistem keselamatan Malaysia di-“Malaysianisasi” sepenuhnya setelah berakhirnya Perjanjian Pertahanan Tanah Melayu-Inggeris (Anglo-Malayan Defence Agreement) dan penarikan tentera British di sebelah timur Terusan Suez pada tahun 1971. Secara kebetulan atau mungkin implikasi daripadanya, kerajaan Tun Razak Hussein menjalankan dasar luar yang lebih neutral dan kurang pro-Barat.

Badan keselamatan Malaysia begitu asyik dengan perang melawan pemberontakan sehingga Perjanjian Hatyai pada bulan Disember 1989. Penasihat Ketenteraan pertama saya Brigadier Jeneral Abd Rahman Ab. Wahab, yang merupakan salah seorang rakan kursus anda, telah berkongsi dengan saya begitu banyak cerita tentang pertempuran Angkatan Tentera menentang Komunis semasa Darurat Kedua.

Salah satu implikasi daripada pengalaman ini adalah fokus terhadap peperangan hutan telah mengekang pengembangan cabang-cabang Tentera Darat yang lain berbanding dengan infantri. Dalam satu laporan rahsia oleh RAND Corporation pada tahun 1964, Riley Sunderland menulis:

“One may surmise that the Malay battalions of 1955 were armed less elaborately because of the difficulty of training mortar crews, antitank crews, maintenance specialists, and ordnance units at a pace commensurate with the fourfold expansion of the Malay Regiment and during a campaign in which there was less need for them than for hardy riflemen and machine gunners who were at home in the jungle.”

“Kita boleh menyimpulkan bahawa batalion Askar Melayu sekitar tahun 1955 telah kurang dilengkapi (berbanding batalion Komanwel lain) kerana kesukaran melatih kru mortar, kru anti-kereta kebal, pakar penyelenggaraan, dan unit ordinans pada kadar yang setimpal dengan pengembangan empat kali ganda Rejimen Askar Melayu, dan ketika mana kempen kententeraan kurang memerlukan kepakaran-kepakaran ini berbanding anggota raifal dan mesingan yang lebih sesuai di hutan.”

1989 bukan sahaja menjadi tahun berakhirnya perang gerila oleh Parti Komunis Malaya tetapi juga tahun runtuhnya Tembok Berlin yang menandakan permulaan berakhirnya blok Soviet. Tahun 1990-an dan 2000-an menyaksikan Amerika Syarikat menjadi satu-satunya hegemon global. Di dalam negara, Angkatan Tentera Malaysia mengembangkan pelbagai keupayaan konvensional yang melampaui keperluan peperangan hutan. Walaupun begitu, gema doktrin Perang Dingin yang bertumpu pada infantri terus kekal.

Tentera Darat Malaysia hari ini kebanyakannya terdiri daripada batalion infantri, dengan jumlah formasi sokongan yang jauh lebih sedikit. Dari segi dasar luar, Malaysia muncul sebagai suara global untuk negara-negara Dunia Ketiga/Selatan dan negara-negara Islam dalam tempoh ini.

Sejujurnya, ketika zaman gemilangnya, Malaysia seolah-olah terlalu selesa. Oleh kerana tidak ada ancaman, kita menjual lapangan terbang, pangkalan dan kem tentera di bandar untuk pembangunan hartanah; kita memperbesar kerajaan dan Angkatan Tentera, tetapi kita juga mewujudkan lebih banyak ‘silo’. Industri pertahanan kita seakan bertindak sebagai ejen berbanding penggerak inovasi. Panjang lagi senarainya.

Amerika Syarikat dan Eropah dilemahkan oleh Krisis Kewangan Global pada tahun 2008, sementara China telah berkembang jauh lebih kuat daripada segi ekonomi dan ketenteraan, dan juga bersikap lebih tegas. Oleh kerana China adalah negara jiran terdekat dan rakan dagang terbesar di Malaysia, selain menuntut dan bersaing di Laut China Selatan, kita berdepan cabaran global yang rumit. Covid-19 dan kejatuhan Presiden Donald Trump telah memaksa semua orang untuk ‘reset’ dan memikirkan semula segala-galanya.

Bina Semula

Kita perlu ajukan beberapa soalan sukar untuk negara kita mara terus ke hadapan dan menempatkan diri sebagai negara maritim bersusur galur benua, memainkan peranan kritikal sebagai gerbang penjalin antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik, dan untuk ATM memainkan peranan sebagai pemangkin dalam usaha rejuvenasi Malaysia. Misalnya:

Sekiranya kita serius dengan pemahaman negara kita sebagai negara maritim, adakah kita bersedia untuk mengukuhkan TLDM dan TUDM?

  • Dalam Tentera Darat, adakah ketumbukan infantri merupakan segalanya? Ataupun, adakah keperluan untuk kita mengukuhkan kor dan rejimen sokongan lain?
  • Bagaimanakah kita fikirkan keupayaan keselamatan siber dan pertahanan siber?
  • Bagaimanakah pula dengan peperangan Kimia, Biologi, Radiologi, dan Nuklear (CBRNe)? Dan bagaimanakah pula kita menjawab persoalan peperangan tidak simetrik?
  • Adakah kita komited dalam meningkatkan kebersamaan?
  • Apakah peranan wanita dalam ATM?
  • Apakah peranan yang perlu dimainkan oleh kerajaan-kerajaan negeri dalam membentukkan angkatan sukarela?
  • Bagaimanakah kita dapat memastikan anggota awam di Kementerian Pertahanan memahami isu-isu pertahanan secara mendalam?
  • Bagaimanakah kita dapat memastikan setiap orang dalam kerajaan yang bertanggungjawab ke atas keselamatan dan pertahanan mempunyai pemahaman yang sama terhadap ancaman yang dihadapi negara?
  • Bagaimanakah kita memastikan semua kementerian, khasnya Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi, memahami hal perolehan pertahanan?
  • Bagaimanakah kita dapat memastikan tidak berlakunya lagi korupsi dalam industri pertahanan, sebaliknya kita jadikan industri pertahanan sebagai pemangkin untuk inovasi sains dan teknologi?
  • Dan akhir sekali, apakah peranan yang boleh dimainkan oleh ATM dalam menjawab persoalan perubahan iklim?

Mujurnya, Kertas Putih Pertahanan mengetengahkan beberapa jawapan bagi setiap persoalan ini. Strategi untuk melancarkan proses rejuvenasi Malaysia berteraskan tiga perkara:

  • Cegah Rintang Berpadu (Concentric Deterrence)
  • Pertahanan Komprehensif (Comprehensive Defence)
  • Perkongsian Berwibawa (Credible Partnerships)

Ketiga-tiga teras ini merupakan elemen penting kuasa negara Malaysia yang perlu diperkukuh untuk menangani cabaran dan peluang baru.

Bagi isu-isu berkaitan Cegah Rintang Berpadu:

Kita perlu memikirkan konsep dua medan, iaitu Timur (Sabah dan Sarawak) dan Barat (Semenanjung Tanah Melayu), serta lapisan Teras, Lanjutan, dan Hadapan. Pertimbangan perlu dilakukan antara Semenanjung Tanah Melayu dan Sabah dan Sarawak, di samping Selat Melaka, Laut Cina Selatan, dan Laut Sulu.

Kita perlu juga mengaju beberapa soalan sukar tentang struktur angkatan yang sedia ada. Kini, Tentera Darat terdiri daripada 80 ribu anggota, manakala TLDM terdiri daripada 18 ribu anggota dan TUDM terdiri daripada 15 ribu anggota. Kita perlu mengakui bahawa struktur ini melebihkan Tentera Darat, walhal cabaran baru yang kita hadapi datangnya dari lautan, udara, dan alam maya. Hakikatnya, keadaan ini menunjukkan ketidakseimbangan penggunaan sumber berbanding kepentingan.

Selain itu, Tentera Darat perlu memikirkan semula komposisi setiap divisyen dan brigednya. Kita perlu fikirkan tahap keupayaan sokongan yang diberi kepada anggota infantri dan armor. Khususnya, soalannya di sini berkaitan nisbah kor dan rejimen tempur berbanding dengan kor dan rejimen bantu tempur.

Kebanyakan kor dan rejimen bantu tempur dikumpulkan di bawah markas divisyen dan bukan di bawah markas briged. Hal ini bermaksud mana-mana battalion infantri tidak akan menerima bantuan yang sepatutnya daripada artileri, pertahanan udara, siber, dan kejuruteraan tempur. Tambahan pula, keupayaan-keupayaan ini tertumpu di Medan Barat, bukan di Medan Timur.

Sebagai perbandingan, di Amerika Syarikat, satu infantry brigade combat team secara asasnya akan disokong sekurang-kurangnya satu squadron jurutera dan satu batalion artileri yang menjawab terus ke markas briged. Begitu juga di Rusia, di mana setiap briged ataupun rejimen motor-rifle akan dibantu kadangkala sebanyak tiga batalion artileri. Bagi Tentera Darat Malaysia pula, lazimnya satu batalion artillery dan satu skuadron jurutera diletakkan bawah pemerintahan markas divisyen.

Infantri dan armor secara persendiriannya tidak boleh memenangi semua tempur, khasnya apabila perlu menghadap musuh sama tahap yang mempunyai batalion gabungan. Batalion bantu tempur memainkan peranan yang sama penting dengan batalion tempur. Kaedah dahulu yang digunakan ketika kedua-dua Darurat dahulu tidak akan lagi berkesan dalam situasi sekarang.

Apabila kita lihat pula satu eselon (echelon) di atas, kita turut boleh lihat bagaimana kebersamaan dapat ditingkatkan lagi. Kini, terdapat lima eselon tiga-bintang yang berbeza, iaitu:

  • Tentera Darat – Medan Barat and Timur
  • TLDM – Armada Barat and Timur
  • TUDM – Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU), yang seterusnya terbahagi kepada dua Wilayah Udara.

Akan tiba masanya suatu hari nanti di mana kelima-lima eshelon ini perlu diselaraskan kepada satu markas pemerintahan sahaja bagi setiap medan. Sistem pemerintahan tempur bersatu ataupun joint combatant command perlu dipertimbangkan, sepertimana dipraktikkan oleh Amerika Syarikat dan China.

Satu cadangan untuk melancarkan penyelarasan ini adalah untuk mengembangkan peranan Markas Angkatan Bersama daripada hanya menjadi sekretariat kepada berbagai-bagai operasi berlainan yang lazimnya tiada hubung kait ke satu markas pemerintahan operasi medan yang bertanggungjawab ke atas unit-unit daripada kesemua cabang ATM. Di samping itu, kaedah eksesais turut perlu berubah untuk mencerminkan keperluan koordinasi antara tiga-tiga cabang ini merentasi semua domain.

Pelan pembangunan keupayaan bersama adalah sangat penting untuk menjayakan transformasi ini. Dokumen tersebut merupakan satu komitmen daripada kerajaan untuk memastikan saluran dana yang konsisten. ATM pula perlu memastikan keperluan keupayaan yang sewajarnya ditetapkan berdasarkan keutamaan misi.

Pada suatu masa, kita perlu juga memikirkan semula kaedah pengurusan sistem anggota simpanan kita. Kini, pasukan simpanan terdiri daripada Askar Wataniah dan Pasukan Sukarela cabang lain, tetapi mereka tidak dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Komposisi pasukan simpanan secara majoritinya terdiri daripada anggota Askar Wataniah yang kebanyakan daripada rejimen tempur yang akan membantu barisan hadapan ketika perang, tetapi tahap latihan dan kelengkapan mereka tidak mencerminkan keperluan keupayaan ini. Mungkin apa yang sebenarnya diperlukan bukan anggota tempur dan tugas am yang ramai, tetapi anggota yang berkemahiran dan kepakaran tinggi? Buat masa ini, unit pakar Askar Wataniah merupakan jumlah yang kecil berbanding dengan unit lain.

Angkatan Simpanan perlu dilihat sebagai satu elemen yang sama penting dengan angkatan tetap, terutama sekali sekiranya negara kita hanya mampu menampung kos untuk angkatan tetap profesional yang kecil. Ketika berlakunya konflik berpanjangan, mereka boleh diaturgerak untuk membantu angkatan tetap. Ketika kecemasan ataupun darurat, mereka boleh dipanggil untuk memenuhi keperluan tenaga kerja membantu pihak berkuasa.

Sekiranya anggota simpanan dapat dilatih sepenuhnya untuk mengendali operasi ketika kecemasan, mungkin kerajaan negeri boleh turut dilibatkan bersama untuk membina hubungan yang saling memberi manfaat. Akan tetapi, untuk peroleh impak yang dikehendaki, anggota simpanan perlu dilatih dan dilengkapkan pada tahap yang hampir sama dengan angkatan tetap, sepertimana yang dilakukan oleh US National Guard dan US Reserve Component.

Di bawah teras Pertahanan Menyeluruh:

ATM sewajarnya tidak dilihat sebagai elemen tunggal dalam keselamatan dan pertahanan negara. Sebaliknya, ATM merupakan elemen padu dalam mana-mana tindakan kerajaan, biarpun ketika aman mahupun ketika perang. Malangnya, pendekatan menyeluruh kerajaan masih tidak kukuh.

Misalnya, terdapat tiga dokumen strategik yang berbeza:

  • Kertas Putih Pertahanan
  • Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam oleh Kementerian Dalam Negeri
  • Kerangka Dassar Luar Malaysia Baru oleh Kementerian Luar Negeri

Hanya salah satu daripadanya yang menjelaskan strategi besar negara kita, dan mampu memadankan sumber dan dasar kepada matlamat. Dokumen yang lain pula hanya merupakan penyata tanggungjawab organisasi, dan bukanlah sangat dokumen tentang strategi. Ada keperluan dalam masa terdekat untuk menyelaraskan ketiga-tiga dokumen ini.

Ketika saya berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pertahanan, saya sering memberitahu staf saya tentang keperluan bukan sahaja pendekatan menyeluruh kerajaan tetapi juga pendekatan menyeluruh MinDef, dan juga kluster keselamatan yang lebih kukuh dan padu dalam Kerajaan. Untuk itu, kita perlu memikirkan semula bagaimana kita mengendali perkhidmatan awam kita.

Secara amnya, sistem perkhidmatan awam yang kita telah adaptasi daripada negara India ini ada kelebihannya. Akan tetapi, bagi isu-isu khas yang lebih rumit, kita tidak boleh bergantung kepada seseorang yang dalam seumur hidupnya hanya mengendali dasar berkenaan minyak sawit untuk menguruskan Kementerian Pertahanan dengan baik.

Dalam sistem Westminster, Menteri lazimnya merupakan “generalist” tetapi penjawat awam tidak semestinya begitu. Kita mungkin tidak boleh mewujudkan satu Pentagon mini yang terdiri daripada penjawat awam yang berkemahiran khusus dalam pertahanan, tetapi kita sekurang-kurangya perlu cuba untuk mewujudkan satu kohort pakar keselamatan dan pertahanan yang hanya terhad kepada lingkungan kementerian-kementerian berkaitan isu-isu keselamatan negara.

Saya berharap Jabatan Perkhidamatan Awam dan kerajaan secara umumnya akan mempertimbangkan cadangan ini dengan serius. Kerajaan sekarang telah membentukkan kluster keselamatan yang diketuai oleh seorang menteri kanan yang secara kebetulannya merupakan Menteri Pertahanan. Saya berharap perkara ini turut diluaskan kepada perkhidmatan awam agar kita dapat mewujudkan barisan pegawai awam yang betul-betul memahami isu-isu pertahanan dan keselamatan negara.

Berkaitan Perkongsian Berwibawa:

Diplomasi merupakan salah satu elemen penting dalam aktivisme antarabangsa Malaysia yang telah membolehkan negara kita untuk memikul lebih daripada berat badan kita bagi isu-isu keselamatan rantau. Misalnya:

  • Pendamaian di Thailand Selatan dan Filipina Selatan
  • Malacca Straits Patrol bersama Indonesia dan Singapura.
  • Trilateral Cooperative Agreement bersama Filipina dan Indonesia.

Tidak kurang juga peranan yang dimainkan oleh ATM dalam hal ini. ATM sentiasa merupakan elemen penting untuk mengendalikan diplomasi pertahanan dan sering kali terlibat dalam pelbagai operasi keselamatan antarabangsa. Misalnya:

  • Misi Pengaman di bawah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu di Bosnia, Sudan, Somalia, Timor Leste, dan Lebanon.
  • Misi bantuan kecemasan di Indonesia.
  • Hospital Medan di Cox’s Bazaar untuk membantu pelarian Rohingya.
  • Pelbagai eksesais bersama dengan negara-negara lain.

Pengurusan hubungan dengan kuasa-kuasa besar akan menjadi lebih penting dalam tahun-tahun akan datang. Hubungan Amerika Syarikat dan China dijangka akan terus tegang. Perkara ini merupakan risiko yang perlu kita urus dengan bijak kerana konfrontasi terbuka antara kedua-dua kuasa besar ini akan membawa padah dan risiko paling besar kepada kita.

Malaysia perlu memainkan peranan dalam melicinkan hubungan kuasa-kuasa besar ini. Oleh itu, ada keperluan untuk negara kita mewujudkan institusi yang dapat memupuk pemahaman terhadap kedua-dua AS dan China. Malaysia, dan khususnya ATM, perlu bercita-cita untuk melakukan lebih dalam aspek ini.

Akhir kata, semua elemen kuasa negara Malaysia perlu digunakan untuk mencapai matlamat utama negara kita. Untuk menjadi sebuah kuasa tengah dan negara maritim bersusur galur kebenuaan, kita perlu fikirkan dengan hemah bagaimanakah kita melaksanakan cegah rintang berpadu, pertahanan menyeluruh, dan menjalin perkongsian berwibawa. Kita sedang berada di zaman yang terbaik dan terburuk serentak. Jika potensi penuhnya dapat dibangunkan, ATM mungkin dapat menjadi pemangkin kepada Rejuvenasi Malaysia.

*Penulis merupakan Ahli Dewan Negara dan bekas Timbalan Menteri Pertahanan serta Pengarah Strategik DAP. Kenyataan ini turut dimuatkan di laman web beliau.

PENAFIAN:

Air Times News Network tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi kolumnis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab kolumnis sendiri. Terima kasih.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!