Home Pertahanan dan Keselamatan Anonymous Malaysia ancam godam laman web kerajaan

Anonymous Malaysia ancam godam laman web kerajaan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 25 JAN – Kumpulan penggodam Anonymous Malaysia hari ini memberi amaran mereka akan melancarkan serangan siber terhadap laman web  milik kerajaan dalam masa terdekat melalui kempen #OpWakeUp21.

“Ini adalah satu peringatan kepada kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu email kepada Air Times.

Anonymous Malaysia menambah, mereka telah berdiam diri terlalu lama dan mungkin tiba masanya untuk melakukan sesuatu.

“Ini adalah mesej kepada kerajaan Malaysia. Sistem keselamatan (siber) begitu rendah dan data-data yang disimpan akan mudah bocor,

“Ini akan menyebabkan penggodam yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil peluang dan menjual maklumat yang berjaya digodam,” kata Anonymous Malaysia dalam satu siaran video.

Menurutnya, Malaysia menghadapi terlalu banyak isu keselamatan siber sehinggakan masih berlaku kes-kes penipuan dalam talian. Selain itu data syarikat telekomunikasi di negara ini telah berjaya diceroboh lebih 46 juta kali.

“Kes penipuan dalam talian terus berlaku, laman web Angkatan Tentera Malaysia telah digodam dan banyak lagi,” jelas Anonymous Malaysia mengenai isu keselamatan siber yang berlaku di negara ini.

Tegasnya, kelemahan ini adalah berpunca daripada kerajaan dan juga pihak pembekal sistem keselamatan siber.

“Kerajaan tidak memberikan sebarang sokongan dan pihak pembangun sistem keselamatan pula bertindak lepas tangan,

“Mereka tidak mengambil langkah proaktif untuk mengembangkan potensi,

“Malah, mereka enggan mengenalpasti dan belajar dari kesilapan yang telah berlaku,” ujarnya.

Kumpulan ini mula aktif pada tahun 2011 apabila 91 laman web kerajaan telah berjaya digodam melalui Operation Malaysia.

Kali terakhir kumpulan ini aktif adalah pada tahun 2015 dengan mengancam untuk melancarkan serangan siber besar-besaran sekiranya Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Abdul Razak tidak meletak jawatan.

Pada masa yang sama, kumpulan ini turut mensasarkan 150 laman web termasuk laman yang dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!