Home Pertahanan dan Keselamatan Tugas bantu rakyat diteruskan, walau kem ditenggelami air

Tugas bantu rakyat diteruskan, walau kem ditenggelami air

by Nurulhuda

BERA, 9 Jan – Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) telah mengatur gerakan pasukan Rejimen Ke-7 Artileri Diraja (7 RAD) bagi membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Daerah Bera dalam memindahkan mangsa banjir di daerah berkenaan.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam hantaran di media sosialnya berkata, pasukan 7 RAD telah diatur gerak bagi membantu pihak berkuasa dan penduduk di Daerah Bera walaupun pasukan berkenaan turut terkesan akibat banjir.

“Sehingga petang semalam, situasi banjir di Pahang terus mencatatkan peningkatan mangsa dan peningkatan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri,

“Kem Batu 3 di Termeloh turut terkesan apabila dinaiki air sehingga menyebabkan sebahagian daripada kem tersebut ditenggelami air serta hanya boleh diakses menggunakan bot,

Kem Batu 3 di Termeloh turut terkesan apabila dinaiki air sehingga menyebabkan sebahagian daripada kem tersebut ditenggelami air. foto: Markas ATM

“Namun demikian, tugas yang diamanahkan bagi membantu mangsa banjir di Bera tetap diutamakan seluruh anggota pasukan,” jelas kenyataan itu.

Pegawai Memerintah 7 RAD, Leftenan Kolonel Johari Zakaria turut turun padang ke Pusat Kawalan Operasi Bencana yang ditubuhkan di Kem Bera bagi mendapatkan maklumat terkini perkembangan situasi semasa banjir di Daerah Bera dan memantau penugasan anggota yang ditugaskan di sana.

Jelasnya, ATM akan terus membantu PBT serta masyakat setempat sejajar dengan Cogan kata ATM iaitu ‘Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada’. Walaupun dalam apa jua keadaan tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat tetap diutamakan. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply