Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Op Benteng: 1,108 PATI ditahan di Johor

Op Benteng: 1,108 PATI ditahan di Johor

by Azura Daril

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=g6ZW61YOmGc[/embedyt]

 

KOTA TINGGI, 30 Dis – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menahan seramai 1,108 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di Johor sejak Mei lalu.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, TDM di bawah kawasan tanggungjawab Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) turut menahan 24 orang tekong laut dan darat serta nilai barang rampasan berjumlah RM2.6 juta.

Beliau berkata, antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan Op Benteng terutamanya di Johor adalah kerana wujudnya perancangan risikan dan kerjasama erat khususnya antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor dan TDM melalui Markas Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

“Penguatkuasaan kawalan sempadan negara yang dilakukan secara bersepadu di antara pasukan terlibat membuahkan kejayaan cemerlang sekaligus dapat membanteras kemasukan PATI ke negara terutama di kawasan Johor,

“Kawasan operasi di Johor ini adalah antara kawasan operasi yang paling berjaya kerana mempunyai aset dan sistem teknologi seperti radar dan dron yang membuat pemantauan secara berterusan di kawasan sempadan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Markas Taktikal Tanjung Sepang, Bandar Penawar, hari ini.

Menurutnya, kejayaan ini juga berikutan daripada pembabitan serta koordinasi atur gerak antara komponen darat, maritim serta penggunaan aset dan teknologi seperti radar selain dron untuk membuat pemantauan secara berterusan.

“Kejayaan Op Benteng di timur Johor adalah bukti keberkesanan kerjasama antara agensi keselamatan, agensi awam, masyarakat setempat dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” ujarnya.

Selain itu, National Task Force (NTF) yang diwujudkan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 akan diteruskan dengan pengstrukturan semula fungsi dan peranan bagi mengawal kedaulatan negara.

Turut hadir, Pegawai Memerintah KD Sultan Ismail, Kepten Ahmad Sapuan Fathi Muhammad; Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu dan Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria.

Tambahnya, ATM khususnya TDM akan terus komited untuk menentukan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara melalui penguatkuasaan pengawalan sempadan.

“Saya menyeru kepada penduduk tempatan untuk terus menjadi mata dan telinga kepada pasukan keselamatan dengan menyalurkan maklumat berkenaan kemasukan PATI,

“Dengan bantuan penduduk setempat yang lebih mengenali tekong darat dan laut ini, ia akan memudahkan penangkapan pendatang asing sekaligus peroleh kejayaan yang lebih cemerlang dalam membanteras jenayah rentas sempadan,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply