PUTRAJAYA, 27 Nov – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, diadakan serentak pada 16 Jan 2021.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan berkata, hari penamaan calon bagi kedua-dua PRK tersebut ditetapkan pada 4 Jan 2021, manakala hari pengundian awal pada 12 Januari 2021.
“Sehubungan dengan itu, SPR telah mengadakan mesyuarat khas pada hari ini dan menetapkan bahawa PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah bagi mengisi kekosongan di kerusi-kerusi berkenaan,” katanya.
Menurut Abdul Ghani, bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka pada 27 November 2020 dan tarikh tutup Borang 1A bagi petugas pilihan raya, anggota polis, tentera dan petugas media pada 30 Disember 2020.
“Manakala bagi permohon dari luar negara tarikh tutup Borang 1B pada 24 Disember 2020 dan tarikh tutup Borang 1C bagi sektor keselamatan dan kesihatan pada 24 Disember 2020,” ujarnya.
PRK kedua-dua tempat berkenaan perlu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.054 Gerik dan DUN N.66 Bugaya susulan kematian penyandang kerusi tersebut.
Penyandang kerusi Parlimen Gerik Allahyarham Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia pada 16 November, manakala kerusi DUN Bugaya Allahyarham Manis Muka Mohd Darah kembali rahmatullah pada 17 November 2020. – airtimes.my