Home Pertahanan dan Keselamatan Sumbangan kempen Tabung Pahlawan boleh dibuat melalui auto debit bulanan

Sumbangan kempen Tabung Pahlawan boleh dibuat melalui auto debit bulanan

by Bernama

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Bagi memudahkan orang ramai menyumbang kepada Kempen Tabung Pahlawan (KTP), sumbangan kini boleh dibuat melalui auto debit bulanan.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata sumbangan secara auto debit itu boleh dilakukan dengan nilai serendah RM5 atau lebih tinggi tanpa had maksimum.

“Kaedah ini boleh dilakukan melalui portal KTP di https://tabungpahlawan.jhev.gov.my/derma bagi memudahkan orang ramai menyumbang bagi membantu veteran dan ahli keluarga mereka yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga mengadakan kolaborasi strategik dengan Digi Telecommunications, dengan RM5 akan disumbangkan kepada tabung berkenaan bagi setiap pendaftaran baharu dalam kalangan penjawat awam sehingga 31 Dis tahun ini.

Justeru, beliau menyeru syarikat korporat dan orang ramai untuk terus menyumbang kepada Kempen Tabung Pahlawan bagi bersama-sama membantu mencapai sasaran kutipan sebanyak RM10 juta.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima sumbangan syarikat korporat untuk Kempen Tabung Pahlawan 2020 bernilai RM2.25 juta yang menjadikan jumlah keseluruhan kutipan setakat ini adalah RM3.4 juta. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply