Home Politik Polis sahkan siasat 6 kes terhadap Anwar termasuk liwat

Polis sahkan siasat 6 kes terhadap Anwar termasuk liwat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menyiasat dan mengambil keterangan Presiden PKR, Anwar Ibrahim berhubung 6 kes termasuk penyebaran senarai nama Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya dan kes liwat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan yang dijalankan secara profesional tanpa menerima sebarang tekanan politik atau arahan daripada mana-mana pihak.

Menurutnya, sebanyak 113 laporan polis diterima berhubung dakwaan sokongan itu, termasuk daripada kalangan ahli parlimen yang menafikan memberi sokongan terhadap Anwar,

“Dakwaan tersebut telah tersebar luas di media massa hingga mencetuskan pelbagai spekulasi yang tidak sihat,

“Kenyataan di laman sesawang dilakukan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam atau golongan awam supaya mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kita menggesa semua pihak memberi ruang kepada pihak polis agar dapat menjalankan siasatan secara telus dan adil.

“Selain itu, tindakan tegas bakal diambil kepada mereka yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” tambahnya.

Huzir menjelaskan keterangan diambil berhubung penyiasatan ke atas penyebaran senarai nama 121 ahli parlimen dalam portal MH Daily yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain daripada kes melibatkan senarai ahli parlimen itu, 5 kes lain yang disiasat ialah:

1. Isu kenyataan bahawa kerajaan pimpinan perdana menteri telah jatuh atas kekurangan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat;

2. Kes liwat dan akuan bersumpah oleh Aidil Azim Abu Adam;

3. Video ucapan mengatakan kedai judi beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP);

4. Video ucapan mendakwa terdapat 6.7 juta warga asing berada dalam negara Malaysia;

5. Sidang media penyerahan dokumen sahih kepada ke bawah Duli Yang maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Semalam, Anwar hadir ke Bukit Aman untuk siasatan penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya.

Anwar hadir pada jam 3 petang melalui Pintu B Menara 2, Bukit Aman untuk memberi keterangan di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply