Home Pertahanan dan Keselamatan 58 PATI ditahan dalam Operasi Benteng semalam – Ismail Sabri

58 PATI ditahan dalam Operasi Benteng semalam – Ismail Sabri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Seramai 58 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) semalam, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Operasi bersepadu yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan agensi penguatkuasa lain turut berjaya merampas 2 bot dan 2 kenderaan darat dalam operasi tersebut.

“Ini termasuklah, penahanan 33 PATI di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor oleh  Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD),” katanya dalam sidang media khas yang disiarkan melalui hantaran di laman sosial Kementerian Pertahanan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 265 sekatan jalan raya (SJR) Op Benteng telah dijalankan semalam, di mana 191 SJR melibatkan PDRM, ATM (65 SJR) dan AKSEM (9 SJR).

Sementara itu, beliau menjelaskan seramai 467 individu telah ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

“Daripada jumlah itu, seramai 460 individu telah dikompaun, 6 pula direman dan 1 telah dijamin,

“Antara kesalahan ingkar PKPP termasuklah mereka yang tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri, tidak melakukan penjarakan fizikal dan premis beroperasi lebih masa,” jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply