PUTRAJAYA, 13 Okt – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini menegaskan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi tetap diadakan demi mematuhi lunas Perlembagaan Persekutuan.
“PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari kekosongan kerusi. Ini selaras dengan Perkara 54 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan,” kata Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh selepas menghadiri Mesyuarat Khas berhubung PRK Batu Sapi.
Beliau menjelaskan, hari pernamaan calon telah ditetapkan pada 23 November.
“Hari undi awal adalah 1 Disember dan hari mengundi pula pada 5 Disember,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan tiada sebarang perarakan atau aktiviti berkumpulan dibenarkan semasa hari pernamaan calon.
“Hanya calon, seorang pencadang dan seorang penyokong dibenarkan masuk ke pusat pernamaan calon,” ujarnya.
Selain itu, Abdul Ghani menegaskan pihak SPR akan menambah baik SOP Pilihan raya berikutan situasi penularan wabak COVID-19 di Sabah serta perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
PRK Batu Sapi diadakan selepas Ahli Parlimennya, Datuk Liew Vui keong telah meninggal dunia pada 2 Oktober.
Pihak SPR kemudiannya menerima notis kekosongan luar jangka kerusi parlimen itu dari Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada 6 Oktober. – airtimes.my