Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Anggota ATM terlibat dadah diberhentikan tanpa sebarang ganjaran perkhidmatan

Anggota ATM terlibat dadah diberhentikan tanpa sebarang ganjaran perkhidmatan

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=eueX515vWRo[/embedyt]KUALA LUMPUR, 8 Sept – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi dengan anggotanya yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, kata Panglima Markas 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran.

Beliau berkata aktiviti penyalahgunaan dadah adalah satu perkara serius dan mana-mana anggota yang terlibat dalam aktiviti itu akan dibicara terus dan diberhentikan dari perkhidamatan.

“Mereka yang didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan positif akan diberhentikan daripada perkhidmatan. Kami (Tentera Darat) amnya tidak akan berkompromi dengan perkara itu,

“Sekiranya mereka diberhentikan, mengikut peraturan tertentu mereka ini tidak akan menerima apa-apa ganjaran daripada perkhidmatan selain caruman dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sahaja,

“Semua anggota tentera terutama di bawah naugan MK 4 Div dinasihatkan agar tidak terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sehingga diberhentikan tanpa sebarang ganjaran perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas upacara perasmian Program Road Show Pendidikan Penyalahgunaan Dadah Peringkat Markas 4 Divisyen, di Kem Wardieburn, Setapak, hari ini.

Program Road Show ini adalah bertujuan memberi kesedaran terhadap implikasi negatif penyalahgunaan dadah serta langkah pembanterasan gejala dadah dalam kalangan warga TD.

Aktiviti ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan juga Agensi Anti Dadah Kebangsaaan (AADK).

Beliau menegaskan agar aktiviti yang berkaitan pendidikan penyalahguaan dadah yang berkonsepkan ceramah dan bengkel perlu kerap dilaksanakan di kesemua kem-kem ATM untuk memastikan warga tentera terdidik tentang bahayanya penggunaan dadah tersebut serta kesan kepada warganya.

Menurut Ya’cob, pengambilan ubat tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan air ketum yang senang didapati juga turut menjadi punca kecenderungan warga tentera ini terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Kadang-kadang mereka tidak perasan mereka telah menggunakan dadah sebagai sebahagian daripada cara menambahkan tenaga dengan mengambil ubat-ubatan yang tidak mengikut nasihat doktor. Sehubungan itu, kesedaran ini perlu,

“Program-program seperti ini akan dilakukan dengan lebih kerap untuk mengingatkan mereka bahawa penyalahguaan dadah ini tidak baik untuk perkhidmatan dan seterusnya untuk negara ,” tambahnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Teknikal Analisis JSJN, Supt Zahari Abu Samah berkata, program seperti ini merupakan langkah terbaik yang diambil oleh ATM bagi memastikan pegawai dan anggota ATM sentiasa diingatkan tentang bahaya dan kesan penyalahan penggunaan dadah terutamanya kepada diri sendiri dan keluarga mereka.

Seramai 65 anggota tentera telah ditahan atas kesalahan penyalahgunaan dadah dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini berbanding 200 tangkapan pada tahun lepas – Penolong Pengarah Teknikal Analisis JSJN

“Peluang yang diberikan ini harus digunakan sebaik mungkin sebagai satu kesedaran kepada diri sendiri dan masyarakat setempat serta mereka yang pernah terlibat dalam aktiviti ini,

“Pemantauan berterusan bagi setiap anggota, kawalan kendiri serta kawalan dari penyelia adalah langkah utama bagi mengelakkan warga tentera terjerumus ke arah aktiviti yang tidak sihat ini,

“Yang paling penting, program pendidikan berterusan hendaklah diterapkan di kalangan pegawai dan anggota untuk memberikan kesedaran tentang bahaya dadah itu sendiri,”katanya.

Zahari menjelaskan seramai 65 anggota tentera telah ditahan atas kesalahan penyalahgunaan dadah dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini berbanding 200 tangkapan pada tahun lepas.

Beliau turut menasihati ahli keluarga mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah agar tidak menyembunyikan perkara tersebut dan segera untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Jangan cuba untuk sembunyikan mereka ini, kerana akibatnya ahli keluarga sendiri akan menanggung risikonya,

“Kalau boleh diubati, kita serahkan dan bagi mereka pemulihan. Kita tidak mahu ada barah dalam ahli keluarga kita sendiri,” ujarnya lagi. – airtimes.my

Geleri Gambar :

Related Articles

Leave a Reply