KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Kementerian Pertahanan tidak akan memberi pengecualian kepada warganya jika terlibat dalam melakukan sesuatu kesalahan atau penyelewengan di kementeriannya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pihaknya memandang serius sekiranya sesuatu kesalahan yang berlaku melibatkan integriti warga dalam Kementerian Pertahanan.
Beliau berkata, sesorang staf di bahagian yang penting perlu dibuat pertukaran sekiranya anggota sudah menjawat jawatan selama atau lebih 3 hingga 4 tahun bagi mengelakkan salah guna kuasa di bahagian tersebut.
“Pengurusan kewangan mesti di patuhi sepenuhnya, kita tidak mahu timbul banyak kes yang melibatkan integriti berlaku di dalam kementerian (Pertahanan). Perlu saya ingatkan, kementerian ini tidak mempunyai imuniti dari segi kesalahan integriti,
“Terdapat isu integriti di dalam kementerian. Saya harap Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) Pertahanan dapat melihat perkara ini,
“Dalam bahagian yang sensitif, sesorang itu tidak perlu lama, keputusan di kabinet telah mempersetujuinya. Mereka yang berada pada bahagian penting kementerian, yang boleh berlaku masalah, staf tidak boleh terlalu lama,
“Cukup 3 atau 4 tahun. Pertukaran perlu dilakukan bagi mengelakkan salah guna kuasa di dalam bahagian atau jabatan-jabatan tertentu,” jelasnya dalam ucapan semasa Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Kempen Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan Peringkat Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, hari ini.
Ismail Sabri berkata, projek-projek yang melibatkan Kementerian Pertahanan perlu dilaksanakan dengan telus dan disiapkan dalam masa yang ditetapkan.
“Oleh sebab itu, Kementerian Pertahanan telah menubuhkan jawatankuasa pembangunan projek untuk mempastikan setiap projek dapat dipantau dari awal dan jika ada isu berkaitan dengan kelewatan dan sebagainya, ia akan dapat diambil tindakan segera untuk diselesaikan,
“Kita tidak mahu kementerian menjadi sasaran dalam Perbahasan di Parlimen berikutan projek-projek kementerian yang tidak dapat disiapkan atau pembelian yang tidak dapat diselesaikan,” tambahnya.
Beliau berharap, dengan adanya jawatan kuasa tersebut, segala projek atau pembelian Kementerian Pertahanan dapat dipantau dan di kemaskini dari semasa ke semasa.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM, Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Kementerian Pertahanan, Panglima-Panglima perkhidmatan dan warga awam serta ATM Kementerian Pertahanan. –airtimes.my