BATAM, 6 Jun – Kapal Perang Republik Indonesia (KRI) Kujang-642 melepaskan tembakan keatas sebuah vessel KM Tenggiri yang disyaki memunggah minyak secara haram dari kapal lain dalam Skim Pemisahan Lalu Lintas (TSS) antara Singapura dan Indonesia pada Jumaat lepas.
Agensi berita Indonesia, Batam Today melaporkan pada pukul 12.45 tengah hari ketika KRI Kujang-642 sedang melakukan rondaan di kawasan TSS, mendapati KM Tenggiri dilihat dalam keadaan yang mencurigakan serta dipercayai sedang melakukan penyeludupan minyak dari kapal lain di Ouside Port Limit (OPL).
Ketika KRI Kujang-642 menghampiri untuk melakukan pemeriksaan, KM Tenggiri tidak memberi kerjasama dan bertindak agresif dengan terus belayar jauh ke kawasan OPL.
Kapal tersebut juga mencabar KRI Kujang dengan mengancam untuk melanggar.
Situasi itu menyebabkan KRI Kujang melepaskan tembakan amaran pertama ke udara. Setelah tembakan itu dilepaskan, KM Tenggiri bertindak dengan mengubah haluan ke perairan Singapura.
Selepas itu, KRI Kujang sekali lagi melepaskan tembakan amaran kedua di udara, dan tembakan ketiga serta mengenai bahagian atas kapal tersebut sebelum melarikan diri ke perairan Singapura.
Kemudian, pihak KRI Kujang telah menghubungi dan memaklumkan kepada Pengawal Pantai Singapura (Polair) tentang kapal Indonesia itu yang memasuki perairannya secara haram untuk diambil tindakan selanjutnya. – airtimes.my