SUBANG, 12 Jun –Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan bagi membawa balik 81 rakyat Malaysia yang terkandas di Selatan Filipina semalam.
TUDM dalam kenyataan berkata, Misi Repatriasi Rakyat Malaysia tersebut adalah untuk membawa balik mereka yang terkandas disebabkan oleh kuarantin komuniti dan perintah “lockdown” oleh kerajaan Filipina bagi menangani wabak pandemik COVID-19 di negaranya.
“Ekoran daripada perintah “lockdown” tersebut, semua penerbangan komersial antarabangsa dan domestik telah diberhentikan,
“Kesemua rakyat Malaysia yang berada disana adalah merupakan penduduk negeri Sabah. Usaha membawa pulang ini dilaksanakan atas dasar mengambil kira faktor keselamatan rakyat Malaysia serta situasi semasa di negara berkenaan,” katanya kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pesawat C-130H dari No. 20 Skn, Pangkalan Udara Subang telah melaksanakan misi tersebut yang diterbangkan oleh Mejar Muhammad Izwanshah Azman TUDM dan pembantu juruterbang Mejar Mohd Azrin Zaihari TUDM dan dibantu 4 anak kapal.
“Pesawat tersebut telah berlepas dari Pangkalan Udara (PU) Labuan pada jam 10. 11 pagi semalam dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Zamboanga pada jam 12.02 tengah hari. Kemudian, pesawat berlepas pulang pada jam 3.25 petang serta selamat tiba jam 4.25 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA),
“Misi Repatriasi ini telah diketuai oleh Kol (Dr) Saravanan Annamalai dari Institut Perubatan Penerbangan (IPP) dan turut disertai doktor dan staf perubatan dari Hospital Queen Elizabeth,” katanya.
Misi ini adalah usahasama Kementerian Luar Negeri (KLN), Duta Besar Malaysia ke Filipina dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). – airtimes.my
Geleri Gambar: