KUALA LUMPUR, 30 Mei – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, perkhidmatan awam akan melaksanakan kaedah bekerja dari rumah (BDR) sepenuhnya, susulan pelaksanaan penutupan penuh atau total lockdown sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara.
Beliau berkata, kaedah BDR ini tidak termasuk perkhidmatan frontliners, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan.
“Perintah ini bertujuan untuk mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19,
“Sehubungan itu, semua Ketua Jabatan harus memastikan semua mesyuarat dan perbincangan dilaksanakan secara dalam talian melalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaan,
“Tiada perjumpaan atau aktiviti fizikal dibenarkan,
“Perkhidmatan kaunter ditutup dan segala urusan adalah melalui perkhidmatan atas talian kecuali kaunter perkhidmatan kesihatan, balai polis dan di pintu-pintu masuk antarabangsa yang melibatkan perkastaman, imigresen serta kuarantin,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, pelaksanaan BDR adalah berdasarkan kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 – Dasar Bekerja Dari Rumah yang jelas memperincikan aspek-aspek yang perlu dipatuhi termasuk tidak boleh melaksanakan urusan peribadi dalam waktu bekerja.
“Sebarang pelanggaran salah laku dalam pematuhan kepada BDR akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah P.U (A) 395 – Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” jelasnya.
Namun begitu, Mohd Zuki berkata kehadiran ke pejabat hanya boleh dibenarkan bagi proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR dengan tidak melebihi 20 peratus.
“Antaranya yang dibenarkan ialah pembayaran kontrak, invois atau gaji, pembayaran atau pengagihan bantuan bulanan dan berkala kepada rakyat, penyelenggaraan atau keselamatan permis,
“Turut dibenarkan pengurusan teknikal ICT bagi tujuan penyelenggaraan sistem serta mesyuarat dalam talian, penyediaan kertas atau dokumen melibatkan jemaah menteri, penggiliran kakitangan bagi tempoh maksimun 4 jam dan kehadiran ke pejabat perlu disertai dengan dokumen arahan rasmi dan pas pekerja,” ujarnya.
Tambahnya, pemantauan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan kepada arahan yang dikeluarkan.
“Sebarang pengecualian arahan itu perlu mendapat kelulusan Pejabat KSN,” jelasnya. – airtimes.my