Home Semasa COVID:19: Malaysia catat 1 kematian, 45 kes baharu hari ini

COVID:19: Malaysia catat 1 kematian, 45 kes baharu hari ini

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 6 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan terdapat satu lagi kes kematian akibat wabak pandemik COVID-19, menjadikan jumlah kes kematian sebanyak 107 di Malaysia setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat jam 12 tengah hari terdapat 45 kes positif baharu dan ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 6,428 kes.

Menurutnya, terdapat satu kes import direkodkan pada hari ini dan kes penularan tempatan adalah sebanyak 44 kes yang mana 21 kes dikesan daripada kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan Pasar Borong Kuala Lumpur.

Pada masa yang sama, beliau berkata terdapat 135 kes yang telah pulih dan dibenarkan keluar wad. Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 4,702 kes.

“Pesakit yang masih dirawat adalah seramai 1,619 orang. Manakala seramai 22 orang sedang di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), daripada jumlah tersebut, 9 kes memerlukan bantuan pernafasan,

“Kes kematian ke-107 (kes ke-2,380) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 51 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi serta penyakit buah pinggang,

“Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 April 2020, dan disahkan meninggal dunia pada 5 Mei 2020 jam 2.53 petang,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 hari ini. – AirTimes

 

 

Related Articles

Leave a Reply