Home Semasa Kakitangan SKMM positif COVID-19 dikuarantin

Kakitangan SKMM positif COVID-19 dikuarantin

by Syahira Rahemi

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan mereka akan terus memantau perkembangan dan mengambil semua langkah pencegahan bagi membendung penularan wabak Koronavirus (COVID-19) pada hari ini.

Kenyatan ini dikeluarkan SKMM sejurus dimaklumkan oleh pihak kesihatan kerajaan bahawa terdapat seorang kakitangannya didapati positif COVID-19 semalam.

“Kakitangan tersebut sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh dikatakan berada dalam keadaan stabil dan diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah sejak 4 Mac yang lalu,” ujar SKMM.

Arahan untuk mengkuarantin kakitangan tersebut dikeluarkan SKMM apabila suami beliau dikenalpasti mempunyai kontak dengan pesakit COVID-19.

Pengesanan Kontak Terperinci telah dilaksanakan untuk mengenal pasti dan memaklumkan kepada individu yang mempunyai kontak secara langsung dengan kakitangan terbabit supaya  menjalani saringan kesihatan serta prosedur kuarantin.

Selain itu, Pasukan Pengurusan Risiko SKMM juga telah mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaan (PKP) bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan serta penularan virus COVID-19 dapat dibendung.

Antara langkah yang diambil adalah membenarkan kakitangan bekerja dari rumah dan menyediakan pejabat alternatif di luar Lembah Kelang.

Skim pembayaran ganti rugi untuk kakitangan juga diperkenalkan berikutan arahan pembatalan semua perjalanan ke luar negara samada rasmi atau peribadi.

Semua operasi di Ibu Pejabat, Bangunan Lama SKMM, Cyberjaya dan Pejabat Negeri akan berjalan seperti biasa kecuali Kaunter Aduan Pengguna yang akan ditutup buat sementara waktu.

Ini adalah bagi memastikan keselamatan pihak awam terjamin dan kakitangan SKMM diutamakan.

Related Articles

Leave a Reply