Home Pertahanan dan Keselamatan 42 PATI ditahan: ESSCOM pertingkat kawalan, kesan tali barut kumpulan penculik di ESSZONE

42 PATI ditahan: ESSCOM pertingkat kawalan, kesan tali barut kumpulan penculik di ESSZONE

by Nurulhuda

KUNAK, 11 Mac – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) meneruskan operasi menggempur penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui Operasi Gasak Laut siri ‘4’ di Zon Selamat Timur Sabah ESSZONE bagi mengesan  dan menjejak saki-baki tali barut kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFRG), awal pagi tadi.

Komander ESSCOM, DCP Datuk Hazani Ghazali dalam satu kenyataan berkata selain untuk mengekang kemasukan PATI, operasi tersebut juga bertujuan untuk menunjukkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam memastikan keselamatan perairan pantai timur Sabah sentiasa berada dalam keadaan terkawal.

“Operasi yang bermula pada jam 3.30 hingga 8.30 pagi itu, ESSCOM telah memeriksa seramai 187 orang penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan,

“Hasil pemeriksaan tersebut, seramai 42 pati yang berumur antara 3 hingga 63 tahun telah ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah di 3 lokasi berasingan penempatan atas air di daerah ini iaitu meliputi Kampung  Pangi, Hampilan dan Pangkalan, di Kunak.

Hazani berkata, kesemua PATI yang terdiri daripada 24 lelaki dan 18 perempuan termasuk 5 kanak-kanak itu akan dihantar ke pusat tahanan sementara (PTS) Tawau untuk tujuan dokumentasi sebelum dihantar ke negara asal masing-masing.

“Kes akan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Dalam masa yang sama, Hazani berkata selain usaha ESSCOM dalam mengekang kehadiran PATI dan talibarut KFRG, operasi gasak ini juga akan diteruskan bagi meneutralkan kawasan hotspot daripada sebarang unsur jenayah.

“Antara agensi keselamatan dan awam yang terlibat yang menjayakan operasi ini antaranya Ibu Pejabat Polis Daerah; Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2; 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD);  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Gerakan Am Batalion 17,

“Selain itu, operasi ini turut melibatkan Pasukan Polis Marin; Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM); Jabatan Imigresen Malaysia; Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia; Majlis Keselamatan Negara; Sabah Electricity Sdn Bhd; Bahagian Hal Ehwal Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri dan Majlis Daerah Kunak, “jelas Hazani lagi.

Related Articles

Leave a Reply