KOTA KINABALU, 30 Nov – Kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan.
Sehubungan itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali menjelaskan, perintah berkurung di kawasan perairan 7 daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir pada 6 petang esok dilanjutkan hingga 16 Disember depan.
Hazani berkata, perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
“Perintah ini diteruskan bagi memastikan perairan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan, selain penduduk,
“Arahan ini juga untuk memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Beliau turut menjelaskan, telah memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE untuk pengeluaran permit kepada pemohon bagi aktiviti perikanan atau keperluan mendesak di kawasan perintah berkurung tersebut. –airtimes.my