Home Diskusi Faktor Singapura dalam pasaran kerja Malaysia

Faktor Singapura dalam pasaran kerja Malaysia

by Liew Chin Tong

Bayangkan coronavirus menghentam ekonomi Singapura sepanjang beberapa minggu akan datang, dan hasilnya majikan-majikan di Singapura terpaksa membuang pekerja. Apakah kesannya terhadap ekonomi dan masyarakat Malaysia?

Andaikan 10 peratus daripada lebih kurang setengah juta rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura diberhentikan. Mereka tidak akan bergerak semakin ke Selatan masuk ke Selat Singapura, tetapi pulang ke Utara – kembali ke tempat tinggal untuk mencari kerja dan peluang berniaga bagi membolehkan mereka terus hidup. Maka ekonomi kita bukan sahaja akan kehilangan pulangan wang, bahkan akan terpaksa menyerap tambahan pencari kerja.

Ini adalah senario yang mesti dipertimbangkan para pembuat dasar secara proaktif apabila mereka cuba menghalang kesan-kesan buruk akibat menularnya wabak coronavirus – dan apabila mereka memikirkan tentang masa depan ekonomi negara secara am.

Menurut Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran, terdapat lebih daripada 500,000 warga Malaysia bekerja di Singapura. Bank Negara melaporkan angka bilangan pekerja dengan kemahiran rendah dan separa mahir yang berulang-alik ke Singapura setiap hari pada sekitar 80,000 dalam tahun 2017; suatu angka yang barangkali lebih kecil berbanding angka sebenar.

Tambak Johor dan Link Kedua masing-masing kini mempunyai laluan dua hala melebihi 300,000 kenderaan setiap hari, dua kali ganda berbanding 2013. Kejatuhan nilai Ringgit sebanyak 30% pada 2014 adalah sebab utamanya.

Pun begitu, melampaui kejatuhan nilai matawang, isu asasnya adalah struktur pasaran kerja Malaysia adalah tidak mampan.  Sejak krisis kewangan Asia pada tahun 1997, pertumbuhan gaji di Malaysia telah dipintas inflasi. Pendapatan sebenar tidak meningkat sejak itu, yang menyumbang kepada rasa tiadanya jaminan ekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia. Analisis BNM menjelaskan ini, dengan dapatan bahawa majoriti industri di Malaysia membayar pekerjanya lebih rendah berbanding ekonomi-ekonomi penanda aras, walaupun selepas pelarasan produktiviti.

Sebahagiannya kerana pasaran kerja Malaysia memiliki jutaan tenaga kerja asing yang berdaftar dan tidak berdaftar, di mana kehadiran mereka menekan kenaikan gaji dan menanggalkan insentif kepada majikan untuk menambahbaik peralatan dan proses, mahupun mempertingkat kemahiran pekerja atau mendaki tangga teknologi. Sementara Revolusi Industri 4.0 menjanjikan harapan, banyak kilang-kilang yang IR3.0 pun belum sampai.

Akibat daripada lambakan ketumbukan pekerja asing tidak berkemahiran dalam kalangan kita ialah warganegara kita sendiri akhirnya menjadi pekerja dengan gaji rendah di Singapura.

Kerajaan lama mendekati hal ini sebagai ‘brain drain’ dan demi mendapatkan semula ‘brain’ ini semua, insentif-insentif meluas telah disasarkan kepada individu berkemahiran dan berkelayakan tinggi dengan pendapatan yang juga tinggi supaya mereka pulang ke Malaysia. TalentCorp ditubuhkan untuk tujuan ini – dan terbukti bahawa program-program yang mereka kendalikan mempunyai kesan positif.

Namun para profesional berkelayakan tinggi ini, selalunya mempunyai lebih daripada satu ijazah, tidak begitu mudah dipujuk sekiranya ekonomi kita tidak menawarkan peluang yang sama luas seperti di luar negara. Hanya sekitar satu-perempat sahaja daripada tenaga kerja Malaysia adalah berkemahiran tinggi. Oleh yang demikian, wujud ketidaksetaraan antara peluang kerja baharu yang tercipta berbanding pencapaian pendidikan di Malaysia. Ramai yang percaya bahawa para graduan kita tidak berkualiti dan menuntut gaji tinggi, dan oleh sebab ini mereka menganggur. Kedua-duanya mungkin betul, tetapi isu sebenarnya ialah ekonomi kita tidak dapat menampung penciptaan peluang kerja yang mencukupi, setara dengan dengan kelayakan dan kemahiran yang mereka ada.

56% pekerja Malaysia di Singapura dianggap mempunyai kemahiran rendah dan separa-rendah serta bekerja sebagai buruh murah. Mereka bekerja sebagai tukang cuci, pengawal keselamatan, pemandu bas, pekerja hotel dan F&B, pekerja kilang, operator pengeluaran dan sebagainya.

Mereka ini, kebanyakannya separa mahir, mencari pekerjaan yang membayar gaji RM4,000 dan bukannya RM1,200. Perlu ditegaskan, mereka mungkin tidak perlukan bayaran RM6,000 untuk menyamai SGD2,000 yang mereka perolehi di Singapura, terutama sekali jika mereka kehilangan kerja akibat kemerosotan ekonomi. Gaji yang mereka hilang boleh diganti dengan kualiti hidup yang lebih baik serta kos sara hidup yang lebih rendah di tanah air.

Mencipta pekerjaan yang membayar gaji RM4,000 dan bukan RM1,200 untuk posisi separa mahir sebenarnya adalah usaha mengurangkan bilangan pekerja asing tidak berkemahiran dalam ekonomi negara. Kita mesti mula mengautomasi secara besar-besaran supaya pekerjaan yang memerlukan 10 pekerja asing boleh dilakukan oleh seorang pekerja warga tempatan, yang telah bergraduasi daripada bekerja di Singapura.

Kerajaan telah pun menyediakan insentif yang hebat untuk menggalakkan industri bergerak maju dalam hal ini. Belanjawan 2020 mempunyai peruntukan untuk menyediakan geran sehingga RM5,000 supaya perusahaan kecil dan sederhana mendigitalkan operasi mereka. Untuk syarikat-syarikat yang lebih besar dan intensif-buruh dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan, kerajaan telah melanjutkan insentif cukai untuk automasi sehingga 2023. Langkah-langkah ini wajar dipuji.

Namun ini bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata. Kita juga memerlukan penglibatan sektor swasta dan masyarakat. Supaya ekonomi Malaysia dapat bergerak maju, adalah perlu untuk kita menerima hakikat bahawa bilangan besar tenaga kerja asing tidak terlatih menyebabkan pekerja Malaysia berkesudahan sebagai buruh asing dengan bayaran murah di Singapura. Perlu ada kesepakatan dan masyarakat bahawa ekonomi negara mesti menilai kemahiran dan membayar gaji setara dengan kemahiran; selain perlunya kita mengutamakan kesejahteraan dan keperluan ekonomi rakyat Malaysia. Menilai semula pekerja berkemahiran dengan cara ini tidak akan menyebabkan inflasi atau kehilangan daya saing, sebaliknya, ia sangat diperlukan bagi memastikan daya tahan ekonomi negara.

Seorang pengurus dana pernah bertanya kepada saya kenapa Dubai dapat mengakomodasi sejumlah besar buruh asing, apabila saya mengajukan supaya Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing. Jawapan saya mudah sahaja: di Dubai tidak ada pengundi.

Dalam pilihan raya umum lalu, pasukan saya telah menghasilkan suatu video yang begitu menyentuh hati untuk Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tentang kegigihan bapanya yang berulang-alik ke Singapura dari Johor Bahru sebagai seorang pekerja kasar. Kerajaan dan ketua-ketua industri mesti sama-sama berfikir untuk menghentikan fenomena ratusan ribu rakyat Malaysia bekerja sebagai buruh murah di Singapura.

*Terjemahan tulisan bertajuk ‘The Singapore Factor in the Malaysian Labour Market’; disiarkan akhbar The Edge pada 17 Februari 2020

*Penulis adalah Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia. Artikel asal disiarkan di laman blog kendalian beliau.

 

 

Related Articles

1 comment

mina1912313 3 September 2020 - 2:41 pm

masa buruk di hadapan

Reply

Leave a Reply