PORT DICKSON, 15 Feb – Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (PM) Lelaki Siri 190/19 telah diadakan di padang kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson, hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.
Seramai 1,809 PM telah berjaya menamatkan latihan yang dilaksanakan mulai 2 Ogos 2019 sehingga 15 Feb 2020.
Panglima Tentera Darat turut menyempurnakan penyampaian 6 hadiah kecermelangan kepada PM yang berjaya.
“Kekuatan fizikal dan mental sahaja belum cukup untuk memacu tentera darat ke arah kecemerlangan. Setiap anggota perlu memiliki ilmu pengetahuan serta kemahiran dalam bidang masing-masing.
“Dengan ilmu kemahiran, tugas akan dapat dilaksanakan dengan sempurna mengikut perubahan persekitaran yang berlaku. Saya menasihati sentiasalah berusaha dan merebut peluang untuk menambah pengetahuan agar semua perajurit muda ini menjadi aset berguna kepada Tentera Darat (TD),” katanya.
Hasbullah turut mengingatkan PM untuk sentiasa memelihara nama baik TD dan mempamerkan sikap yang profesional, terampil serta berdisplin semasa melaksanakan tugas.
Anak kelahiran Machang, Muhammad Alif Najmi Rabiul Shawal telah dinobatkan sebagai Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik. Anugerah Perajurit Muda Akademik Terbaik disandang oleh Raymont Ma dari Sibu sementara Mohamad Haizan Idris dari Pontian dipilih sebagai Perajurit Muda Kecergasan Jasmani Terbaik.
Muhammad Ridzuan Maula Mohd Rezal dari Segamat dipilih untuk Anugerah Perajurit Muda Kawad Terbaik sementara PM dari Tuaran, Shahirul Hafizal Mohamad telah merangkul Anugerah Perajurit Muda Penembak Terbaik.
Latihan PM dijalankan selama 6 bulan ini bertujuan untuk melahirkan PM yang berkeyakinan diri, berketerampilan, berdisiplin dan berkelayakan bagi mencapai kualiti sumber manusia yang baik untuk Tentera Darat Malaysia.







