Home Semasa Sokong usul MA63 jika PAS ikhlas menyokong kepimpinan Dr Mahathir – Liew

Sokong usul MA63 jika PAS ikhlas menyokong kepimpinan Dr Mahathir – Liew

by Bernama

PUTRAJAYA, 14 Feb – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong meminta parti pembangkang, terutamanya PAS, menyokong pindaan perlembagaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekiranya mereka benar-benar ikhlas menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata cara itu adalah lebih baik berbanding cadangan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man untuk mengadakan usul undi percaya terhadap Dr Mahathir apabila Dewan Rakyat bersidang bulan hadapan.

“Saya berpendapat bahawa ini adalah peluang terbaik kepada mereka untuk memberi sokongan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri,” katanya kepada media selepas majlis amanat tahun baru 2020 di sini semalam.

Liew berkata pasukan petugas yang ditubuhkan telah beroperasi selama 11 bulan bagi membantu kerajaan memuktamadkan semakan pelaksanaan perjanjian itu yang menyaksikan 17 daripada 21 isu dibangkitkan telah mendapat persetujuan bersama dari segi pelaksanaan hala tujuannya.

Satu majlis khas yang dipengerusikan Dr Mahathir dan diurussetiakan Jabatan Perdana Menteri serta dianggotai Ketua Menteri Sabah dan Ketua Menteri Sarawak, seterusnya akan bertindak memantau pelaksanaan keputusan-keputusan itu, katanya.

Menyentuh kajian mengenai hukuman alternatif bagi hukuman mati mandatori yang telah dibentang oleh Jawatankuasa Khas, Liew berkata beliau akan membentangkannya di Parlimen pada bulan hadapan.

Sejak empat bulan lalu, beliau berkata jawatankuasa itu telah ke tujuh negeri dan bertemu semua pihak berkepentingan yang relevan termasuk ahli keluarga mangsa serta banduan akhir.

“Terma rujukan lain yang saya minta daripada mereka ialah untuk menasihatkan kerajaan apa yang nak dibuat kepada mereka yang (sudah) dijatuhi hukuman mati. Terdapat sejumlah 1,305 banduan yang telah disabitkan oleh mahkamah bagi kesalahan yang membawa hukuman mati.

“Dengan cadangan ini, kerajaan perlu memutuskan nasib kesemua 1,305 banduan ini yang telah dijatuhi hukuman mati. Jawatankuasa Khas telah mengemukakan cadangan dan saya akan mendedahkannya selepas memberi taklimat kepada Kabinet,” katanya. – Bernama

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply