Home Semasa 155 warga asing ditahan dalam operasi Imigresen

155 warga asing ditahan dalam operasi Imigresen

by Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Tujuh bayi dan kanak-kanak yang berusia antara lima bulan hingga enam tahun merupakan antara 155 warga asing yang ditahan, dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah pangsapuri di Ara Damansara, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata dalam operasi kira-kira tiga jam disertai 200 pegawai dan anggota penguatkuasa jabatan tersebut serta sembilan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bermula 1 pagi itu, seramai 352 warga asing diperiksa.

Katanya, warga asing ditahan itu terdiri daripada 83 lelaki, 65 wanita serta tujuh bayi dan kanak-kanak, yang kesemuanya berusia berusia lima bulan hingga 50-an.

“Daripada jumlah itu, 130 individu merupakan warga Indonesia, lapan dari Nepal serta masing-masing empat dari Myanmar dan Bangladesh,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi penguatkuasaan tersebut.

Khairul Dzaimee berkata antara kesalahan yang dilakukan warga asing terbabit termasuklah tidak bekerja dengan majikan asal dan dalam sektor yang sepatutnya.

“Contohnya, majikan asal mereka sepatutnya di Negeri Sembilan dan bekerja dalam sektor perladangan, namun didapati mereka bekerja sebagai juruwang dan penghantar barang, di sekitar kawasan ini.

“Ada juga warga asing yang tinggal lebih masa dengan bekerja sebagai pekerja kebersihan menggunakan pas lawatan sosial dan tidak pulang ke negara asal mereka,” katanya.

Kesemua warga asing itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1) (C) akta sama serta Perkara 39(b) Peraturan Imigresen 1963, kerana tidak mempunyai dokumen, tinggal lebih masa dan salah guna pas. –  Bernama

Related Articles

Leave a Reply