Home Semasa Koronavirus: Kes jangkitan kelapan dikesan di Johor

Koronavirus: Kes jangkitan kelapan dikesan di Johor

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 30 Jan – Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini mengesahkan satu kes positif 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV) telah dikesan di negara ini.

“Kes terbaharu yang dilaporkan adalah melibatkan isteri kepada pesakit kes ke-7 yang dilaporkan di Johor, semalam.

“Kes ini melibatkan seorang warganegara China berusia 49 tahun dan telah dimasukkan ke dalam wad isolasi di Hospital Permai, Johor,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau menambah, pesakit dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Hisham menyatakan sebanyak 89 kes pesakit disyaki menghidapi 2019-nCoV telah dicatatkan semenjak 10 Januari sehingga 29 Januari 2020. Jumlah tersebut merangkumi 44 orang rakyat Malaysia, 42 warga China dan selebihnya melibatkan seorang warga Jordan, Brazil dan Thailand.

“3 kes disyaki yang telah disahkan menhidapi virus telah dimasukkan ke dalam wad kuarantin di Hospital Permai, Johor dan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi,

“81 kes disyaki telah disahkan negatif sementara 5 kes masih menunggu keputusan makmal,” jelas Hisham.

Beliau menambah, 32 kontak rapat dengan pesakit kes positifi 2019-nCoV telah dikenalpasti dan kesemuanya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan serta dipantau oleh KKM.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 5 kes daripada kontak rapat ini telah disahkan positif jangkitan 2019-nCoV dan telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Permai,

“Kesemua kes positif di kalangan kontak rapat ini berada dalam keadaan stabil. Manakala ujian makmal ke atas 27 kontak rapat lagi adalah didapati negatif jangkitan 2019-nCoV,” kata Pengarah Kesihatan Malaysia.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan KKM sentiasa bersiapsedia serta memberi respon terhadap wabak ini telah dilaksanakan dengan cepat dan baik.

“KKM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengenalpasti pelajar atau pensyarah yang pulang bercuti dari negara China. Mereka yang telah dikenalpasti akan diletakkan di bawah pemantauan di rumah (home surveillance) dan diberikan Kad Amaran Kesihatan dan Home Assessment Tool,

“Sekiranya mereka ini menunjukkan gejala, pelajar atau pensyarah ini akan dirujuk ke fasiliti kesihatan yang telah dikenalpasti dengan segera,

“Selain itu, KKM bekerjasama erat dengan beberapa kementerian lain bagi membawa pulang 78 orang rakyat Malaysia yang bekerja di Wuhan, China. Semua mereka ini akan disaring, diambil sampel dan diletakkan di bawah pemantauan kesihatan selama 14 hari,

“Sekiranya mereka menunjukkan gejala, mereka akan dirujuk ke hospital yang telah dikenalpasti dengan segera,” jelas Hisham lagi.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan wabak itu.

Wabak 2019-nCoV telah mencatatkan sebanyak 7,894 kes jangkitan dengan 170 kematian di seluruh dunia. Sebelum ini, Jabatan Kesihatan China mengesahkan hampir keseluruhan negara itu dijangkiti 2019-nCoV dengan sebanyak 7771 kes dijangkiti serta 170 kematian.

 

Related Articles

Leave a Reply