Home PolitikPakatan Harapan PRK Kimanis: 50 tahun berkuasa gagal laksana MA63, cukuplah BN tabur janji – Shafie

PRK Kimanis: 50 tahun berkuasa gagal laksana MA63, cukuplah BN tabur janji – Shafie

by Bernama

KIMANIS, 10 Jan – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan rakyat Sabah khususnya di Kimanis supaya jangan mudah percaya dengan janji kosong Barisan Nasional (BN) termasuk mengenai hasrat BN melaksana 100 peratus Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekiranya kembali berkuasa.

Mohd Shafie menegaskan BN dilihat menggunakan isu itu semata-mata untuk meraih sokongan rakyat Sabah khususnya pengundi di Kimanis menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen kawasan itu pada 18 Jan ini.

“(BN) sudah lama (berkuasa). Ini pula janji lagi (akan melaksana 100 peratus MA63 jika BN kembali berkuasa). Jangan cakaplah… sudah 50 tahun (BN memerintah Sabah). Cukuplah, orang Sabah bukan bodoh,” katanya kepada pemberita selepas program bertemu rakyat di Pusat Daerah Mengundi Seladan, Kampung Tengah, Bongawan dekat sini, malam tadi.

Sebuah portal berita semalam melaporkan, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik sebagai berkata beliau berjanji akan melaksanakan 100 peratus MA63 sekiranya BN kembali berkuasa.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata BN sudah diberi peluang memerintah di negeri ini selama 50 tahun, namun parti itu ternyata gagal merealisasikan aspirasi rakyat di Sabah berhubung pelaksanaan MA63.

Beliau berkata meskipun Warisan bersama rakan sekutunya, Pakatan Harapan (PH) baru lebih setahun mentadbir negeri dan negara, banyak perkara sudah dipersetujui berhubung MA63 termasuk pengambilalihan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) serta pengurusan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada kerajaan negeri Sabah.

Selain itu, Mohd Shafie berkata pemberian khas tahunan kepada Sabah juga digandakan kepada RM53.4 juta pada Belanjawan 2020, selepas insentif itu yang juga sebahagian daripada geran Persekutuan sebanyak RM26.7 juta untuk Sabah, tidak pernah disemak semula sejak 1969.

“Apabila PH dan Warisan memerintah, Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) sendiri mempengerusikan Jawatankuasa MA63. Dahulu yang mempengerusikan jawatankuasa itu bukan perdana menteri.

“Kita berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana prihatin dan bertanggungjawab untuk mendengar rintihan suara rakyat Malaysia di Sabah. Banyak lagi akan dibincang tahun ini yang menjadi keutamaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie mahu penduduk Kimanis menterjemahkan sokongan dengan mengundi sekali gus memberi kemenangan kepada calon Warisan Datuk Karim Bujang bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dibawa ke kawasan ini demi kesejahteraan rakyat.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim dan calon BN, Datuk Mohamad Alamin.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 18 Jan dan hari pengundian awal pada 14 Jan. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply