Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Lebih 50 ribu kunjungi Pesta Kor Risik

Lebih 50 ribu kunjungi Pesta Kor Risik

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Pesta Kor Risik Diraja (PERISIK) telah berjaya menarik lebih 50 ribu orang pengunjung sepanjang 3 hari acara tersebut berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang semenjak Jumaat lalu.

Pameran Kor Risik Diraja (KRD) merupakan fokus utama acara ini di mana pameran-pameran persenjataan dan aset telah diadakan di Dewan A MAEPS. Antara peralatan yang dipamerkan adalah UAV Schiebel, senjata api, kelengkapan khusus dan gajet perisikan.

Selain daripada itu, pameran turut melibatkan beberapa reruai promosi cawangan perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia serta cawangan perkhidmatan di bawah KRD.

Pada masa yang sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tidak ketinggalan untuk hadir ke acara ini.

Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan merasmikan Pesta Kor Risik Diraja (PERISIK) di MAEPS, Serdang pada Sabtu.

Acara yang dianjurkan oleh Bahagian Staf Perisikan Pertahanan ini diadakan bersempena Hari Ulang Tahun ke-50 Kor Risik Diraja dan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP), Leftenan Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan pada 7 Disember lalu.

“Acara ini diadakan bagi membuka mata rakyat Malaysia akan tugas dan peranan KRD dalam menjaga kedaulatan negara,“Selama 50 tahun dalam ATM, KRD sentiasa bekerjasama dengan semua agensi keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan semua agensi-agensi keselamatan,” katanya.

Pameran ini juga memperlihatkan kehadiran Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) yang dikendalikan oleh BSPP.

Mohd Ali Erman Londing pegawai kadet PALAPES dari Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

Menurut salah seorang pengunjung, Mohd Ali Erman Londing, beliau berkata aktiviti sebegini merupakan satu pendedahan yang terbaik untuk dirinya yang merupakan salah seorang Pegawai Kadet PALAPES.

“Saya rasa bangga dan teruja kerana pameran sebegini dapat memberikan pendedahan awal kepada kadet-kadet PALAPES untuk mengetahui lebih mendalam mengenai dunia ketenteraan khususnya KRD,” kata Ali dari Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

Selain daripada pameran dari cabang perkhidmatan tentera, PERISIK turut menyaksikan kehadiran tiga syarikat pertahanan tanah air seperti Westsar, System Consultancy Services Sdn Bhd (SCS), dan System Consultancy Services Sdn Bhd.

PERISIK padat dengan pelbagai aktiviti seperti pameran, gerai jualan dan beberapa acara sampingan yang menjadi tarikan kepada para pengunjung yang hadir. Antara aktiviti yang diadakan ialah aktiviti sukan seperti Larian Perisik 5km, Netball Shootout dan Penalti Shootout Challenge.

Tidak ketinggalan acara e-sukan turut diadakan dengan Kejohanan PUBG Kor Risik.

Selain daripada itu, PERISIK turut melibatkan acara sukan ekstrem seperti flying fox, memanah, Pangkolo Motofest dan paintball. Aktiviti sebelah malam pula diserikan dengan konsert yang diadakan secara tiga malam berturut-turut. Antara artis yang hadir adalah XPDC, Lefthanded, Datuk Nash, Datuk Hattan, May, Floor 88 dan Khalifah.

 

 

Related Articles

Leave a Reply