Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Lancar Tred Jurugeospatial, RAJD tingkat kepakaran anggota

Lancar Tred Jurugeospatial, RAJD tingkat kepakaran anggota

by Bernama

KLUANG, 14 Ogos – Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) melancarkan Tred Jurugeospatial sebagai kepakaran baharu kepada pasukan itu di Institut Kejuruteraan Medan Tentera Darat (IKEM) di Kem Mahkota, di sini.

Ketua Jurutera IKEM Mejar Jeneral Datuk Ahmad Nasir Abd Rahman berkata dengan adanya tred berkenaan, pasukannya akan dapat melaksanakan tugasan yang berkaitan dengan kejuruteraan Geospatial dengan lebih baik.

Beliau berkata ia akan meliputi penyebaran output dan spatial agar tentera di kem berkenaan terdedah dengan teknologi terkini, sekali gus akan mampu bersaing dengan tentera di negara lain.

“Tred ini juga merupakan ketukangan ke-16 RAJD dan kewujudannya merupakan satu pengiktirafan kepada 13 perjawatan Jurugeospatial yang terdapat di Markas RAJD di Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD), Markas RAJD Divisyen dan IKEM.

“Kewujudan tred ini juga sempena penstrukturan rejimen ini pada tahun lepas dan merupakan satu perkembangan positif bagi kemajuan peningkatan kerjaya anggota sesuai dengan perubahan teknologi semasa dan taraf pendidikan anggota,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Nasir berkata keperluan bantuan kejuruteraan Geospatial kini semakin bertambah selaras dengan permbangunan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata kini tred berkenaan sememangnya penting lebih-lebih lagi dengan penubuhan Network Centric Operation (NCO) iaitu sistem persenjataan moden yang memerlukan data geospatial dalam menentukan keberkesanan serta pengintergrasian data oleh agensi awam atau swasta.

“Cadangan bagi mewujudkan tred ini sudah bermula sejak tahun 2004 lagi selain lanjutan dari kesedaran akan kepentingan keperluan bantuan Geospatial bersepadu kepada permbangunan sistem pertahanan moden ATM.

“Seramai 16 anggota lain-lain pangkat (LLP) akan menjadi pasukan pertama dihantar menghadiri kursus jurugeospatial selama lima bulan sebagai kumpulan perintis seterusnya menghadiri ujian tred.

“Dengan adanya sumber manusia yang terlatih ini, keperluan tranformasi ATM yang menekankan kepada ‘Information Superiority’ akan tercapai,” katanya. -Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply