Home Pertahanan dan Keselamatan Veteran Tidak Berpencen desak Yew Yin disiasat

Veteran Tidak Berpencen desak Yew Yin disiasat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen (PVATTBM) hari ini menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan terperinci terhadap kenyataan ahli perniagaan, Koon Yew Yin yang menyifatkan anggota tentera tidak berbuat apa-apa selain hanya makan dan tidur sahaja.

Timbalan Presidennya, Abdul Rani Aziz turut menyatakan siasatan juga perlu dilakukan terhadap individu-individu lain yang sejak akhir-akhir ini terlalu lantang bersuara.

“Saya berharap agar kenyataan Yew Yin dan individu lain disiasat mengikut Akta Hasutan 1984 atau peruntukan Undang-undang yang bersesuaian demi untuk menjaga ketenteraman awam serta perpaduan awam terpelihara,

“Kenyataan Yew Yin bersifat kurang ajar dan amat menghina seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta veteran ATM,

“Ia juga berbau rasis. Secara tidak langsung Yew Yin juga telah menghina kebawah DYMM Yang Dipertuan Agong selaku ketua tertinggi ATM, tegas Abdul Rani selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Abdul Rani berkata, kenyataan Yew Yin itu berniat jahat, bersifat menghasut, boleh menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat awam tentang peranan dan kedudukan ATM seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan serta Akta ATM.

“Kenyataan ahli perniagaan itu boleh disifatkan sebagai mengelirukan terutamanya berkenaan dunia ketenteraan khasnya dan dunia penjawat awam umumnya,” tegasnya lagi.

Semalam, Yew Yin dalam laman blog kendaliannya menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan beliau terlalu besar.

Menerusi tulisan tersebut, Yew Yin meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat pekerja yang tidak diperlukan.

Antara yang dibangkitkan ialah dengan menjadikan anggota tentera sebagai contoh dan menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja.

Tulisan Yew Yin tersebut menjadi tular dalam media sosial dan membangkitkan kemarahan banyak pihak termasuklah warga maya.

 

 

 

Related Articles

1 comment

EX-RMN 14 August 2019 - 8:46 pm

Adalah diharapkan, supaya selepas ini apabila ada kenyataan viral dari sebarang individu, persatuan dan lain lain kumpulan yang meremehkan pasukan keselamatan samada ATM, PDRM dan lain lain agensi berkaitan keselamatan negara, diminta pihak PDRM tanpa perlu ada aduan mesti dan wajib ambil tindakan segera. Kita tak mahu ada kompromi dalam aspek keselamatan negara.

Reply

Leave a Reply