Home Semasa Mohd Bakke dilantik Pengerusi baharu Felda

Mohd Bakke dilantik Pengerusi baharu Felda

by Bernama

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Tan Sri Mohd Bakke Salleh telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Julai 2019 sehingga 30 Jun 2021, umum Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Azmin Ali dalam kenyataan akhbar berkata pelantikan Mohd Bakke adalah setelah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mohd Bakke merupakan seorang tokoh korporat yang berintegriti dan berwibawa. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat termasuk industri perladangan.

“Saya yakin beliau mempunyai kepimpinan untuk meneruskan usaha mengembalikan Felda sebagai sebuah agensi yang mampu mengangkat martabat peneroka dan menjamin kelestarian Felda,” katanya.

Mohamad Azmin berkata beliau mengambil maklum hasrat Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Felda berkuat kuasa pada 30 Jun 2019.

Menurutnya, Megat Zaharuddin telah memberi sumbangan idea yang bernas dan progresif dalam usaha kerajaan Pakatan Harapan membina semula Felda dan memastikan kemampanan industri perladangan serta masa depan peneroka Felda yang terjamin.

“Beliau bersama pengurusan Felda yang baharu telah berusaha gigih dan memberi sepenuh komitmen untuk menyiapkan Kertas Putih yang menggariskan satu pelan pemulihan ke arah kelestarian Felda dan telah dibentang dan diluluskan oleh Parlimen.

“Saya menghormati hasrat Tan Sri Megat Zaharuddin dan bersetuju menerima keputusan beliau,” katanya – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?