Home Semasa Kemudahan skim mySalam diperluas ke hospital unversiti, tentera – Lim Guan Eng

Kemudahan skim mySalam diperluas ke hospital unversiti, tentera – Lim Guan Eng

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kemudahan skim perlindungan nasional B40 atau skim mySalam diperluaskan ke 10 buah hospital lagi bagi memudahkan para pesakit mendapat rawatan lanjut dari doktor pakar.

Menurut Lim Guan Eng, atas dasar keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap golongan B40 dan seterusnya memberi impak yang tinggi kepada rakyat, Skim mySalam kini turut merangkumi rawatan yang diterima di Hospital Perubatan Universiti dan juga Hospital Angkatan Tentera setelah pesakit mendapatkan pengesahan doktor pakar untuk menerima manfaat skim ini.

“Sebanyak lima buah Hospital Perubatan Universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Hopsital UiTM Sungai Buloh.

“Manakala lima lagi hospital tambahan dari Angkatan Tentera iaitu Hospital Angkatan Tentera, Lumut, Perak; Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak, Melaka; Hospital Tentera Darat, Gemas, Negeri Sembilan dan Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Skim mySalam yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Januari 2019 merupakan skim perlindungan kesihatan percuma untuk golongan B40 yang menjalani rawatan di hospital kerajaan.

“Skim mySalam merupakan perlindungan takaful yang disediakan kepada golongan B40 melalui kerjasama awam swasta antara Kerajaan Persekutuan dan Great Eastern Takaful Bhd.

“Dengan memberi bayaran bantuan tunai sekali gus (one-off) sebanyak RM8,000 bagi mereka yang disahkan menghidap salah satu daripada 36 penyakit kritikal termasuk penyakit kanser, serangan jantung dan alzheimer serta elaun hospital harian sebanyak RM50 sehari atau maksimum RM700 setahun,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply