KUALA LUMPUR, 4 Mei – Hampir 4000 orang menyertai Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam (Himpunan 405) di Jalan Esfahan bersebelahan kompleks pusat membeli-belah Sogo, hari ini.
Himpunan yang dianjurkan oleh Gerakan Pembela Ummah gabungan 300 badan bukan kerajaan (NGO) turut dihadiri wakil dari parti politik UMNO, PAS dan Ikatan.
Tujuan utama Himpunan 405 ini adalah bagi mempertahankan kedaulatan agama Islam dan sistem Perlembagaan negara.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut hadir dalam perhimpunan tersebut.
“Saya menyeru agar umat Islam di Malaysia bersatu dalam mempertahankan kesucian agama Islam dan kedaulatan sistem perlembagaan negara ini,” ucap Ibrahim semasa perhimpunan tersebut.
Selain itu, himpunan ini turut diadakan bagi menuntut keadilan kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang sehingga sekarang masih belum terbela.
Menurut peguam yang mewakili kes tersebut, Zubir Embong berkata ada dua versi mengenai punca kematian Adib ini.
“Versi pertama Adib dilanggar dengan kenderaan dan versi kedua pula Adib dipukul, sepertimana yang dipaparkan di dalam akhbar. Oleh itu, saya menyeru agar kita semua bersatu dalam menuntut keadilan ini,” kata Zubir semasa ucapan di perhimpunan tersebut.
Pada masa yang sama, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Muhammad Ikhwan Nashriq turut mempersoalkan sistem pendidikan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan janji-janji kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dalam membela nasib anak muda.
“Perhimpunan ini merupakan bukti bahawa rakyat sudah mula muak dengan janji-janji kosong pihak kerajaan,” tegas Ikhwan.
Perhimpunan yang bermula pada pukul 2 petang itu berjalan dengan lancar walaupun dalam keadaan hujan lebat. Kesemua peserta memakai t-shirt berwarna putih ‘Daulat Tuanku’ sebagai lambang kesatuan ummah.