Home Semasa Hina Agong: Pemilik akaun Facebook Michael Cheah mohon ampun

Hina Agong: Pemilik akaun Facebook Michael Cheah mohon ampun

by Nurulhuda

KUANTAN, 4 Feb – Pemilik akaun Facebook , ‘Michael Cheah’ memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ekoran tindakan memuat naik komen di laman sosial itu yang menghina Seri Paduka.

Peniaga langsir, Cheah Kim Hung, 46, berkata, dia mengaku kesilapanya memuat naik komen yang berbunyi ‘Muka macam end of the world’.

“Saya memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong atas kesilapan saya.

“Niat asal saya bergurau dengan salah seorang pelayar Facebook, Zinedine Zaid di halaman Facebook I Love Pahang yang sebenarnya merujuk kepada gambar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu yang kelihatan tidak senyum,” katanya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, lelaki berusia 46 tahun dari Kuantan itu dibebaskan 10 pagi semalam selepas ditahan selama dua hari sejak 8 malam Jumaat lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan IPD Temerloh.

“Selain itu, dua lelaki berumur 32 dan 36 tahun yang dipercayai terlibat melakukan ugutan jenayah ke atas peniaga berkenaan juga dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan di IPD Kuantan semalam,” kata Mohd Zakaria seperti disiarkan Bernama.

Bagaimanapun, menurut Mohd Zakaria, siasatan terhadap dua lelaki berkenaan masih diteruskan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Kedua-dua lelaki itu ditahan Jumaat lalu selepas dilaporkan pergi ke premis ahli perniagaan berkenaan di hadapan Kuantan Parade kerana tidak berpuas hati dengan tindakannya yang meninggalkan komen berunsur penghinaan pada gambar Al-Sultan Abdullah di laman sosial.

Artikel Berkaitan: 2 suspek ugut lelaki hina Agong ditahan – Polis

Artikel Berkaitan: Hina Agong: Pengguna Facebook ditahan polis

Cheah Kim Hung dilaporkan meninggalkan komen menghina ke atas gambar yang memaparkan Sultan Abdullah, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ia tular di Facebook pada 31 Januari lalu.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply