Home Semasa Jenayah terhadap Adib tidak boleh dilindungi – Titah Sultan Nazrin

Jenayah terhadap Adib tidak boleh dilindungi – Titah Sultan Nazrin

by Air Times News Network

PULAU PINANG 28 Dis – Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah supaya pihak yang bertanggungjawab dengan kematian Pegawai Bomba (PB) Muhammad Adib Mohd Kassim, 24 tahun tidak dilindungi.

Sambil menitiskan air mata baginda bertitah, tangan-tangan yang bergelumang dosa melakukan jenayah sungguh kejam itu sehingga mengakibatkan seluruh keluarga Muhammad Adib berduka perlu dicari demi memastikan undang-undang didaulatkan dan keadilan tidak tercicir.

“Demi menegakkan kebenaran juga, mereka yang menyaksikan kejadian yang berlaku mempunyai tanggungjawab agama, moral dan undang-undang untuk tampil membantu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” titah baginda semasa majlis pengurniaan watikah pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Hakim serta Pendaftar Mahkamah Syariah Pulau Pinang di sini hari ini.

“Jenayah sekejam ini, sama sekali tidak boleh dilindungi.  Kepada Allah SWT kita pohonkan akan berlaku keadilan setimpal (poetic justice), memastikan pihak yang bersalah dan dalang-dalang yang bertanggungjawab di sebalik peristiwa ini tidak terlepas daripada dihukum kerana dosa yang telah dilakukan,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada ibu bapa Allahyarham, Mohd. Kassim Abdul Hamid dan Azma Aziz serta tunangnya, Nurul Najihah Radzi serta seluruh keluarga atas pemergian Muhammad Adib secara tragik.

Pada 17 November lalu, Muhammad Adib menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 9.41 malam selepas tiga minggu mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Muhammad Adib cedera parah dipercayai dibelasah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya 27 November lalu.

 

Related Articles

Leave a Reply