IPOH, 22 Dis – Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Udara Siri 59/2018 telah diadakan di Akademi Tentera Udara, Ipoh pada hari ini.
Seramai 308 orang Perajurit Muda Tentera Udara Diraja (TUDM) telah berjaya menamatkan latihan yang memakan masa selama 22 minggu semenjak Julai 2018 lalu.
Dari jumlah tersebut, seramai 105 orang Perajurit Muda TUDM yang berjaya adalah lulusan Diploma dan Sijil Kemahiran Malaysia dari pelbagai bidang.
Istiadat perbarisan tamat latihan telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Untuk siri latihan kali ini, Perajurit Muda Udara Muhammad Akmal Azwan Noor Esam telah dinobatkan sebagai Perajurit Muda Udara Terbaik Keseluruhan.
Perajurit Muda Muhamad Iqbal Ismail telah merangkul Anugerah Perajurit Muda Udara Akademik Terbaik manakala Perajurit Muda Udara Sidi Omar Mottar Shah telah dipilih sebagai Perajurit Muda Penembak Terbaik.
Manakala Flait Alpha telah dipilih sebagai Flait Keseluruhan Terbaik.
Dalam ucapan majlis, Jeneral Tan Sri Affendi mengingatkan agar Perajurit Muda Udara untuk menjaga nama baik, imej serta maruah perkhidmatan dengan memelihara disiplin diri dan menjauhi segala gejala negatif.
“Anasir tidak sihat seperti najis dadah, gerakan ekstremisme dan kumpulan ajaran sesat perlu dijauhi,” kata Panglima Tentera Udara.
“TUDM tidak akan berkompromi dan tidak teragak agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati melanggar undang- undang perkhidmatan dan awam,” tegas Affendi.
Latihan selama hampir enam bulan ini merangkumi pelbagai modul yang menekankan pelbagai aspek bagi membentuk peribadi seorang anggota TUDM.
Turut hadir Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Asghar Khan Goriman Khan; Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Dato’ Haji Mohammad Salleh Haji Osman serta pegawai-pegawai kanan TUDM.