Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Kementerian Pertahanan rancang program galakkan rakyat sertai Askar Wataniah

Kementerian Pertahanan rancang program galakkan rakyat sertai Askar Wataniah

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memaklumkan Kementerian Pertahanan sedang merancang beberapa program untuk menggalakkan rakyat pelbagai kaum di negara ini menyertai Askar Wataniah.

“Bila ketiadaan PLKN (Program Latihan Khidmat Negara), kita nak menggalakkan rakyat menyertai Wataniah, kita sedang menyusun semula untuk kita buat pengumuman-pengumuman.

“Kalau boleh kita nak penyertaan daripada pelbagai kaum, dan apa yang berlaku baru-baru ini yang salah faham itu kita akan lihat dan mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kursus dan Penyampaian Diploma Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) Siri 38/2018 di sini, hari ini.

Mohamad diminta mengulas mengenai Kementerian Pertahanan menafikan laporan berhubung pengambilan 75 belia berbangsa India yang dilatih Askar Wataniah, beliau berkata pihaknya akan melihat semula berhubung salah faham berkenaan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan: Patuhi syarat kemasukan Askar Wataniah – Kementerian Pertahanan

Semalam, Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan dalam satu kenyataan menafikan catatan di laman Facebook dan laporan sebuah surat khabar Tamil yang mengatakan kementerian itu telah bersetuju mengambil kesemua 75 orang belia berbangsa India yang dilatih Askar Wataniah, meskipun 60 orang daripada mereka tidak memenuhi kelayakan.

Kenyataan itu memaklumkan kementerian tidak pernah memberi jaminan mengambil kesemua pemohon itu dalam pasukan Wataniah dan pihak Kementerian bersetuju untuk mengkaji semula permohonan itu supaya mereka yang memenuhi syarat kemasukan tetapi tercicir sebelum ini boleh dipertimbangkan semula.

Related Articles

Leave a Reply