Home Semasa Kanak-kanak bukan Islam antara 105 sertai khatan perdana ATB2

Kanak-kanak bukan Islam antara 105 sertai khatan perdana ATB2

by Air Times News Network

TAWAU, 18 Dis – Seorang kanak-kanak bukan Islam antara 105 yang diraikan dalam program khatan perdana anjuran bersama Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) dan Masjid Al-Kauthar, di sini hari ini.

Memetik laporan Bernama, Herry Maxsons Herman, 11, murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuok Ming itu berbaris bersama kanak-kanak lain sebelum dimandikan dengan pancutan air daripada jentera bomba oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Tawau di perkarangan masjid.

Ibunya, Arina Ak Wan yang berketurunan Iban, Dayak dan Murut berkata anaknya secara rela hati mahu menyertai program tersebut kerana melihat 98 peratus rakan-rakan beragama Islam di sekolahnya sudah berkhatan.

“Lagipun bersunat ini menjadi amalan kaum lelaki dalam keluarga kami seperti bapa dan adik lelaki saya termasuk suami kerana menyedari kepentingan berkhatan.

“Selepas ini, dua orang adik Herry yang berusia 10 dan empat tahun pun akan bersunat,” katanya ketika ditemui pada program itu dan disambut oleh anaknya Herry yang berkata: “Saya tidak takut.”

Sementara itu, Komander ATB2 Brig Jen Datuk Zarondin Md Amin berkata pihaknya menerima permohonan di luar jangka dengan lebih 200 penyertaan tetapi terpaksa ditapis atas faktor kekangan peralatan.

“Melihat pada kejayaan penganjuran pertama kali ini bersama pihak masjid, Pejabat Kesihatan Tawau serta Balai Bomba dan Penyelamat, program ini akan dijadikan acara tahunan,” katanya menambah program adalah antara aktiviti murni ATB2 yang dilaksanakan secara percuma untuk rakyat.

Pengerusi Masjid Al-Kauthar, Khalid Tahir pula berkata pada masa akan datang pihaknya akan meningkatkan penyediaan bagi membolehkan sehingga 250 kanak-kanak berusia lima tahun ke atas menyertainya.

“Kalau boleh kita buat program ini setahun dua kali, kalau tidak sekali dan buat pada cuti sekolah pada bulan Jun,” katanya.

Program yang bertemakan “Berkhatan Kunci Kesucian Muslim Sejati” melibatkan anak-anak warga ATM di kawasan Tawau selain anak-anak sekitar kariah Masjid Al-Kauthar.

Antara objektif program ini adalah sebagai memenuhi syariat seorang muslim selain memberikan khidmat berkhatan kepada masyarakat setempat terutama kepada golongan kurang berkemampuan.

 

 

Related Articles

Leave a Reply