Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat ATM siap sedia hadapi musim tengkujuh

ATM siap sedia hadapi musim tengkujuh

by Air Times News Network

KOTA BHARU, 2 Dis – Seramai 800 anggota tentera di bawah naungan Markas 8 Briged yang berpangkalan di Pengkalan Chepa di sini bersiap sedia diatur gerak untuk misi bantuan banjir di Pantai Timur khususnya di Kelantan dan Terengganu pada tahun ini.

Menurut laporan Bernama, Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Muhammad Huzaimi Sabri berkata anggota terbabit yang telah bertugas di dua negeri itu akan melakukan penugasan untuk memberikan bantuan kepada pihak pengurusan bencana ketika musim tengkujuh ini.

“Kami sudah membuat persiapan dari segi fizikal dan mental selain melakukan persiapan latihan bersama dengan agensi pengurusan banjir lain bagi menghadapi kemungkinan yang bakal berlaku pada musim ini (tengkujuh).

“Persiapan kami juga termasuk persediaan kenderaan, aset menyelamat dan tinjauan di kawasan yang berisiko menghadapi banjir,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Huzaimi berkata di Kelantan pihaknya akan memberikan tumpuan khusus di kawasan seperti di daerah Kuala Krai, Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat.

“Kawasan ini diberikan tumpuan berikutan ia kebiasaannya menghadapi banjir dan terjejas teruk semasa banjir 2014 yang lalu.

“Setiap daerah lain anggota kami diberi tanggunjawab untuk memberikan perkhidmatan kepada mangsa yang terlibat dengan bencana alam ini,” katanya.

Katanya pihaknya turut memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand yang terletak di negeri Kelantan ketika musim tengkujuh ini.

“Kita tidak mahu musim ini ada pihak-pihak mengambil kesempatan untuk melakukan kegiatan yang menyalahi undang-undang negara.

“Musim tengkujuh ini bukan kesempatan untuk mereka yang tidak bertanggungjawab membolosi sempadan negara,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply