Home Semasa Rusuhan di tapak kuil tiada unsur perkauman – KP Selangor

Rusuhan di tapak kuil tiada unsur perkauman – KP Selangor

by Air Times News Network

SUBANG JAYA, 26 Nov – Pihak polis mengesahkan insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di sini, awal pagi tadi tidak membabitkan unsur perkauman, sebaliknya pergaduhan antara dua kumpulan.

Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Selangor berkata kejadian kira-kira jam 2 pagi itu berhubung arahan memindahkan kuil tersebut yang dikeluarkan mahkamah sebelum ini.

“Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu adalah kes terpencil dan orang ramai diminta menghentikan status atau mesej tular yang mengaitkan kejadian berkenaan dengan isu perkauman.

“Hasil maklumat diterima,  berlaku kekecohan antara sekumpulan 50 lelaki yang berada dalam pekarangan kuil tersebut dengan sekumpulan lagi lelaki yang berada di luar kuil.

“Sebuah kereta peronda dihantar ke lokasi. Bagaimanapun, cermin belakang kereta peronda itu pecah selepas dibaling batu oleh perusuh menyebabkan anggota bertugas meminta bantuan unit lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini.

Hadir sama, Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari.

Tambah Mazlan, pihaknya juga sudah menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an selepas dipercayai terlibat dalam rusuhan tersebut.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit ditahan di Hospital Serdang ketika menjalani rawatan akibat kecederaan dialami selepas rusuhan itu.

“Kami juga menemui beberapa parang dan senjata digunakan dalam rusuhan berkenaan. Kejadian itu juga menyebabkan kerosakan di kuil terbabit.

“Pada masa sama, kami sedang menyiasat pemilik kenderaan yang dibakar dan meneliti jumlah keseluruhan kerugian dalam kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, seramai 700 pegawai dan anggota termasuk dari pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ditempatkan di kuil tersebut untuk mengawal keadaan.

“Buat masa ini, keadaan terkawal dan kita minta semua pihak bertenang dan jangan timbulkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan, bagi kita siasat dulu,” katanya.

Beliau berkata, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang cuba mencetuskan ketegangan kaum dan ketenteraman awam berhubung isu berkenaan.

Related Articles

Leave a Reply