Home Semasa Himpunan tolak ICERD tidak perlu – Khalid

Himpunan tolak ICERD tidak perlu – Khalid

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad menegaskan tiada keperluan untuk himpunan bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diadakan kerana kerajaan belum memutuskan untuk meratifikasi konvensyen itu.

Beliau berkata, hasrat penganjuran himpunan itu dilihat seolah-olah sengaja dibuat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab mahu mengapi-apikan keadaan dan sekadar untuk mempolitikkan isu.

“Saya hairan mengapa ada pihak yang ingin berhimpun sebab tiada orang yang nak tandatangan pun (meratifikasikan ICERD) setakat ini.

“Lagi ramai yang kecoh, akan menambahkan lagi kekeliruan. Sepatutnya kita perlu jelaskan mengapa kita sokong atau tolak sesuatu perkara itu,” katanya.

“Sebab kita nak tolak atau sokong sesuatu sebabnya mesti jelas. Jika golongan ini nak tolak ICERD tetapi orang tak faham apa sebab dia, memberikan gambaran yang kita ini mahu mengamalkan diskriminasi ras, sedangkan bukan begitu.

“Kalau kita nak tolak, kena nyatakan kenapa, apa masalahnya, memang kita tidak setuju dengan diskrimasi ras tetapi dalam itu ada benda-benda yang bercanggah dengan Perlembagaan negara dan sebagainya.

“Jadi perlu dijelaskanlah,” katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen ‘Buy Malaysia First’  di MRT Pasar Seni, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Khalid mengesahkan sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang permohonan berhubung himpunan berkenaan.

Himpunan tolak cadangan meratifikasi ICERD dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka pada 8 Disember depan.

 

 

Related Articles

Leave a Reply