Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Kapal TLDM dan TLF laksana pertemuan di sempadan perairan

Kapal TLDM dan TLF laksana pertemuan di sempadan perairan

by Nurulhuda

SANDAKAN, – Kerjasama bagi meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan negara ini dan Filipina diperkukuhkan lagi menerusi pertemuan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Tiga dengan Kapal Tentera Laut Filipina (TLF) BRP Dioscoro Papa, pada Rabu.

Pertemuan itu dilaksanakan menerusi program Rondaan Maritim Trilateral (TMP) di sempadan perairan negara ini dan Filipina iaitu di sekitar garis sempadan maritim, Tujuh Batu Nautika Timur Laut Pulau Mataking Semporna.

Menurut kenyataan Cawangan Komunikasi Strategik Markas Wilayah Laut 2 TLDM semalam, pertemuan itu dianjurkan di bawah inisiatif perjanjian kerjasama tiga pihak melibatkan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Kapal KD Sri Tiga yang diketuai Pegawai Pemerintah Lt Komander Kamarulzaman Kamaruddin, manakala kapal BRP Dioscoro Papa diperintah oleh Left Rey Remigo PN.

Pertemuan kapal TLDM KD Sri Tiga dengan Kapal Tentera Laut Filipina (TLF) BRP Dioscoro Papa, di sekitar garis sempadan maritim, Tujuh Batu Nautika Timur Laut Pulau Mataking Semporna. Foto: Twitter KD SRI TIGA/ TLDM

Kenyataan itu menambah, rondaan bersama dan pertemuan itu adalah bertujuan bagi perkongsian maklumat berkaitan ancaman semasa di kawasan persempadanan perairan kedua-dua negara termasuklah isu aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan, perlanunan, penculikan untuk wang tebusan dan pendatang asing tanpa Izin.

Krew kedua-dua kapal juga melaksanakan beberapa siri latihan bersama antaranya Replenishment at Sea Approach (RASAP), Kibaran Bendera (Semaphore), Publication Exercise (PUBEX) dan Latihan Manuvra Taktis (MANTAK).

Menurut kenyataan itu, Inisiatif rondaan TMP telah terbukti memberi manfaat yang baik dan impak yang sangat positif kepada komuniti maritim di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dan telah memberikan banyak keyakinan kepada negara serantau khususnya dalam tahap keselamatan maritim di Laut Sulu dan Sulawesi. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply