Jambatan sementara itu mulai dinaiki air pada pukul 9 pagi ini apabila berlaku hujan berterusan di kawasan hulu sejak awal pagi tadi.

Seorang pengguna jalan raya, Nor Ashima Ramli, 26, berkata, pengguna perlu berhati-hati dan tidak melalui jambatan tersebut kerana air mungkin akan semakin meningkat dan terdapat sisa kayu turut melekat pada jambatan.

“Urusan penduduk di 10 buah kampung sekitar tergendala buat kesekian kalinya apabila jalan untuk ke bandar Gua Musang itu ditutup sepenuhnya sejak 11 pagi ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang pengguna jalan raya, Mohd. Syafiq Ismail, 31, berkata, rutin harian untuk ke bandar Gua Musang hari ini tergendala apabila air melimpahi jambatan.

“Saya yang menunggang motosikal terpaksa berpatah balik ke rumah. Sudah lebih tiga tahun masalah perhubungan ini membelenggu penduduk dan pengguna jalan raya Gua Musang-Jeli.

“Setiap kali hujan lebat pergerakan kami terkandas selepas jambatan sementara ini ditenggelami air,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah, Mohd. Yussalmi Mohd. Yusoff berkata, anggotanya telah dikerahkan ke lokasi untuk memantau keadaan.

Beliau turut menasihatkan pengguna untuk tidak melalui jambatan sementara itu dan menggunakan laluan alternatif lain